am@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) khususnya dalam pengendalian kes berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan umum.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan AGC untuk merujuk kes seumpama itu bagi tindakan undang-undang sekali gus terus memperkukuhkan kerjasama strategik yang sedia terjalin.
“Kerjasama membabitkan kes berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan umum yang akan sentiasa dirujuk kepada AGC selaku pihak berkuasa yang memutuskan tindakan undang-undang ke atas kes-kes disiasat SPRM.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memimpin, mereformasi dan memperkukuhkan SPRM,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di pejabatnya di sini, semalam.
Kunjungan hormat ke Jabatan Peguam Negara itu merupakan agensi pertama yang dikunjunginya selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei 2026.
Sementara itu, Mohd Dusuki turut merakamkan penghargaan di atas kesudian Abd Halim membuat kunjungan hormat pertamanya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM ke atas AGC.
“AGC dan SPRM berpisah tiada. Kerjasama yang terjalin akan diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




