Armada bidas kenyataan Ahmad Zahid, dakwa Bersatu kini ganti UMNO

Armada bidas kenyataan Ahmad Zahid, dakwa Bersatu kini ganti UMNO

SHAH ALAM – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelar kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan kenyataannya yang mendakwa jangka hayat parti itu tidak akan bertahan lama.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu jelas tidak berasas kerana fakta membuktikan sebaliknya apabila Bersatu berjaya memenangi 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding 26 kerusi dimenangi parti pimpinan Ahmad Zahid.

“Angka-angka fakta diatas memberi kesimpulan bahawa Bersatu telah berjaya memperoleh mandat rakyat yang jauh lebih cemerlang daripada UMNO.

“Juga ternyata Bersatu telah diberi lebih kepercayaan oleh rakyat berbanding UMNO. Bersatu ganti UMNO sudah selesai, sekarang ini tumpuanya adalah Perikatan Nasional (PN) mengganti Pakatan Harapan (PH)+ Barisan Nasional (BN).

“Armada juga ingin mengingatkan berkenaan komentar ‘parti serpihan’ yang dilontarkan, UMNO perlu menerima hakikat bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bersatu yang merupakan parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO telah memenangi kerusi Parlimen yang lebih banyak berbanding UMNO pada PRU15,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahmad Zahid pada Sabtu dilapor melontarkan sindiran tajam terhadap Bersatu dengan mendakwa beliau sememangnya sudah menjangkakan ketidakstabilan parti itu susulan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin utamanya, baru-baru ini.

Beliau berkata, Bersatu yang diasaskan oleh bekas pemimpin UMNO adalah sebuah ‘parti serpihan’ yang relevan politiknya sememangnya tidak akan bertahan lama.

Sementara itu, Harris Idaham turut mendakwa UMNO semakin lemah sehingga terpaksa bergantung kepada PH dan DAP untuk kekal berada dalam kerajaan.

“UMNO terpaksa menggadaikan prinsip perjuangan Melayu dan Islam dengan menumpang kekuatan DAP dan PH demi kuasa politik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO juga perlu menerima hakikat bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bersatu yang diasaskan bekas pemimpin UMNO telah memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding parti tersebut pada PRU15.

“Bersatu merupakan sebuah parti yang tidak perlu mengadaikan prinsip perjuangan untuk memastikan pemimpin dilepaskan daripada tuduhan mahkamah,” katanya.

 

Scroll to Top