ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peluang beraksi bersama jaguh pecut dunia, Noah Lyles di Grand Prix (GP) Emas Seiko di Tokyo Ahad ini dianggap detik paling berharga buat pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Eugene, Oregon, Ogos ini.
Atlet berusia 19 tahun itu mengakui tidak menyangka bakal berkongsi trek dengan juara Olimpik Paris 2024 terbabit, namun melihat cabaran itu sebagai medan terbaik untuk mengukur kemampuan sebenar di pentas antarabangsa.
Pelari kelahiran Johor itu berkata, dia cukup teruja jika dapat ‘lawan’ Lyles selepas sebelum ini pernah menimba pengalaman beraksi bersama raja pecut Asia Tenggara dari Thailand, Puripol Boonson di Sea 2025 tahun lalu.
“Saya memang tak jangka Lyles akan bertanding di Tokyo kali ini tetapi ini peluang besar untuk saya bersaing dengan atlet bertaraf dunia.
“Lyles antara pelari terbaik dunia sekarang dan sebelum ini saya pernah berlumba dengan Puripol di Sea, jadi saya bersyukur dapat lagi peluang berdepan pelari ranking dunia,” katanya sebelum berlepas ke Tokyo di Majlis Sukan Negara semalam.
Kehadiran Lyles yang memiliki rekod peribadi 9.79 saat (s) dijangka memeriahkan saingan 100 meter di Tokyo dengan beberapa lagi nama besar turut berada dalam senarai termasuk Marcellus Moore, Jerome Blake dan Yoshihide Kiryu.
Bagaimanapun, Danish tidak mahu meletakkan tekanan tinggi terhadap catatan masa di Jepun kerana fokus utamanya adalah mencapai prestasi terbaik pada Kejohanan Dunia B-20 nanti dengan sasaran bawah 10.2s
“Untuk Tokyo saya cuma mahu kekalkan rentak dan kalau dapat catatan bawah 10.5 atau 10.4s itu sudah memadai,” katanya.
Untuk rekod, Danish Iftikhar memiliki catatan peribadi terbaik 10.18s yang dilakar pada Sea 2025 di Thailand Disember lalu, manakala catatan terbaik musim ini 10.46s dilakukan pada kejohanan tempatan di Pulau Pinang April lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



