PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Permohonan bagi laluan khas kemasukan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan iaitu Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan tahfiz ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akan dibuka secara terus melalui universiti terlibat bermula 30 Jun ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman berkata, permohonan tersebut tidak dibuat melalui sistem UPUOnline kerana persediaan sistem berkenaan telah berjalan sejak tahun lalu.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan ketetapan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan seperti UEC dan tahfiz.
“Jadi bagi mengikut ketetapan seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri, maka kita semua di peringkat universiti telah pun beberapa kali mengadakan libat urus dan insya-ALLAH kita akan membuka permohonan secara terus kepada universiti yang menawarkan program-program tersebut bermula 30 Jun bagi membolehkan permohonan itu boleh berlaku pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini pada Jumaat.
Ujar beliau, antara universiti yang terlibat bagi lepasan institusi tahfiz adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ia melibatkan program Diploma dan Sarjana Muda Dakwah; Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah; Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz dan Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi lepasan SMPC dan UEC pula, terdapat empat program ditawarkan iaitu Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia (UM) dan UPSI.
Mengulas lanjut, Azlinda berkata, dua kumpulan pelajar itu bagaimanapun mesti mempunyai kelayakan dari institusi masing-masing bersekali memiliki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah sebagaimana ketetapan yang telah diputuskan.
“KPT ingin menegaskan bahawa semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti,” jelas beliau.
Selain itu, katanya, pemohon juga perlu melalui sesi temuduga termasuk bagi melihat tahap penguasaan bahasa mereka sebelum diterima masuk.
Ditanya sama ada KPT berhasrat mahu memperluaskan program pengajian bagi lepasan di luar sistem pendidikan itu pada masa depan, Azlinda berkata, buat masa ini, tiada rancangan untuk memperluas kepada program lain.
“Ketika ini fokus kepada program itu sahaja. Yang (lapan program) ini adalah ketetapan yang telah dibuat oleh KPT,” katanya.



