SEPANG – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) melancarkan ‘Sumud Protocol’ merangkumi empat usaha sebagai pelan tindakan fasa satu yang akan digerakkan bermula pada fasa akhir misi flotila menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tindakan menerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia bakal menggerakkan sokongan dan keahlian sekurang-kurangnya 150 ahli Parlimen merentas parti dan ideologi.
Menurut beliau, perkara itu merupakan cerminan keteguhan institusi Parlimen negara yang berani dan komited membela isu Palestin.
“SNCC juga menggesa Kaukus Palestin Parlimen mengadakan usul tergempar bagi mengabsahkan Deklarasi Brussels yang digerakkan oleh ahli-ahli Parlimen dunia khususnya dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU).
“Ia merupakan usaha bagi meningkatkan tekanan diplomatik serta ekonomi terhadap rejim susulan pencabulan undang-undang antarabangsa serta sekatan kemanusiaan ke atas Gaza,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan SNCC di sini pada Jumaat.
Sani Araby berkata, melalui Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dengan sokongan kerajaan, pihaknya menggerakkan usaha memfailkan tuntutan kepada Ketua Pesuruhjaya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Fail itu adalah untuk pencabulan undang-undang antarabangsa susulan tindakan menculik, menyerang dan merampas bahan bantuan kemanusiaan serta kapal flotila kemanusiaan di perairan antarabangsa oleh pihak rejim Israel pada tahun 2025 dan April lalu.
“Ini adalah satu lagi sejarah yang mana keberanian bukan hanya menghantar memorandum tetapi kesatuan ini akan membuktikannya dengan memfailkan satu petisyen dan satu saman kepada pihak ICC untuk mengheret penjajah ini yang akan dimulakan seawal Jun depan,” katanya lagi.
Tambah beliau, SNCC turut melancarkan usaha siaran langsung selama 100 jam ‘Sumud Kita Untuk Gaza’ menerusi platform rasmi Sumud Nusantara bagi memperluaskan kesedaran awam dan menyampaikan perkembangan semasa misi flotila kepada rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa.
Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk melakukan tindakan menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah yang sahih, menangkis propaganda jahat rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media.



