Hakim Danish 'menggila' di Catalunya

Hakim Danish 'menggila' di Catalunya

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli tampil garang apabila menguasai hari pertama Grand Prix (GP) Catalunya di Litar Barcelona-Catalunya, hari ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila mencatat masa terpantas sesi latihan Moto3 dengan masa sepusingan 1 minit 46.943 saat (s).

Catatan cemerlang itu sekali gus menyaksikan Hakim Danish mengesahkan slot automatik ke sesi kelayakan kedua (Q2), esok.

Lebih membanggakan, pelumba negara itu berjaya mengetepikan cabaran beberapa pelumba tuan rumah yang dilihat memiliki kelebihan beraksi di litar sendiri.

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte muncul kedua terpantas dengan catatan 1’47.042s.

Sementara itu, wakil Leopard Racing, Adrian Fernandez berada di kedudukan ketiga terpantas selepas mencatat 1’47.146s.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP pula menamatkan sesi di tempat keempat terpantas menerusi catatan 1’47.362s.

Terdahulu, Hakim Danish turut mencuri tumpuan pada sesi latihan bebas sebelah pagi apabila sekali lagi mencatat masa terpantas dengan rekod 1’47.478s.

Selepas mengharungi lima pusingan musim ini, Hakim Danish kini mengumpul 18 mata keseluruhan untuk berada di tangga ke-15 carta pelumba Moto3.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top