am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Seorang pelajar lelaki maut manakala rakannya cedera selepas dua motosikal bertembung dalam kemalangan di Jalan Sungai Buaya, di sini, petang semalam.
Dalam nahas kira-kira jam 2.30 petang itu, kedua-dua pelajar terbabit dikatakan dalam perjalanan dari sekolah menuju ke Loji Bandar Sungai Buaya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 3.22 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang berada di lorong kanan dipercayai membuat pusingan U.
“Penunggang sebuah lagi motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum merempuh motosikal berkenaan.” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Manimaran berkata, impak pelanggaran mengakibatkan seorang daripada pelajar meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
Seorang lagi mangsa patah tangan kanan dan dibawa ahli keluarga ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati binti Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




