Kuala Lumpur: Seorang bekas pemandu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap hakim berkenaan, minggu lepas.
Mohd Fareez Mohd Zin, 39, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Gan Techiong, 64, dengan tujuan mendatangkan ketakutan terhadapnya dan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada hakim itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi (Sivil) Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini pada 1.30 tengah hari, 8 Mei lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan jika ugutan adalah untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah, boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Peguam Karen Kaur yang mewakili Mohd Fareez, memohon supaya jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya yang telah berkahwin, perlu menanggung tiga anak selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, Amritpreet membantah permohonan peguam berhubung jaminan bagi memastikan keselamatan hakim mahkamah.
“Jika mahkamah ingin memberikan jaminan, mohon jaminan tinggi serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran,” katanya.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan tidak memberikan jaminan terhadap lelaki itu dengan mengambil kira kesalahan itu tidak boleh dijamin dan bantahan pihak pendakwaan, serta menetapkan 11 Ogos untuk sebutan kes.
Di mahkamah sama, Mohd Fareez mengaku tidak bersalah atas dakwaan iaitu melalui ujian air kencing, lelaki itu didapati memberikan dadah jenis Amphetmine dan Methamphetamine ke dalam badannya, di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada 11.10 malam, 12 Mei.
Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara dua tahun serta pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Amritpreet menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala Karen memohon jaminan paling minima atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama (11 Ogos) untuk sebutan kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




