
Rafizi (kiri) dan Nik Nazmi dijangka mengumumkan hala tuju politik baharu mereka esok dalam satu majlis terbuka di Petaling Jaya.
SHAH ALAM – Pemerhati politik menggariskan tiga jangkaan utama terhadap hala tuju yang mungkin diumumkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad termasuk mengumumkan satu platform politik baharu.
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, platform itu boleh berbentuk gerakan pemikiran, jaringan masyarakat sivil, kumpulan advokasi dasar atau kaukus reformasi yang memberi tekanan moral dan dasar kepada kerajaan dari dalam ekosistem reformis.
Menurutnya, ini membolehkan mereka kekal relevan tanpa perlu terus bertembung secara terbuka dengan PKR.
“Kedua, pengumuman itu boleh menjadi isyarat mereka mahu bawa semula politik berasaskan idea, polisi, tatakelola dan meritokrasi reformis, khususnya selepas kedua-duanya tewas dalam pemilihan PKR dan melepaskan jawatan Kabinet.

Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi
“Seterusnya, tidak boleh tolak kemungkinan mereka sedang menyediakan gelombang politik jangka sederhana menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Gabungan kedua-duanya boleh menjadi tawaran politik kepada pengundi bandar, kelas menengah, anak muda profesional dan sebahagian penyokong reformasi yang berasa PKR terlalu terikat dengan kompromi kuasa.
“Namun, saya tidak melihat langkah ini semestinya sebagai deklarasi perang terbuka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PKR. Lebih tepat, ia mungkin satu pembentukan ruang tekanan dalaman-luaran,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi dijangka mengumumkan hala tuju politik baharu mereka esok dalam satu majlis terbuka di Petaling Jaya.
Mengulas lanjut Awang Azman berkata, kehadiran orang ramai di Petaling Jaya akan menjadi ukuran awal sama ada Rafizi dan Nik Nazmi masih mempunyai tarikan politik.
“Dalam masa sama, pengumuman ini berlaku pada hari sama ketika pimpinan Pakatan Harapan bersedia menunjukkan kekuatan dalam konvensyen tahunan PH di Johor Bahru.
“Oleh itu, acara di Petaling Jaya boleh dibaca sebagai isyarat bahawa wujud satu lagi pusat perhatian dalam politik reformis bukan untuk memecahkan PH secara langsung, tetapi untuk mengatakan bahawa suara progresif tidak boleh dimonopoli oleh kepimpinan rasmi semata-mata,” ulasnya.



