
Gambar resort yang diiklankan dalam aplikasi (kiri) dan keadaan resort sebaik keluarga berkenaan tiba di lokasi. – Foto Mustsharenews.
THAILAND – Hasrat seorang wanita di negara ini membawa anaknya bercuti di pantai bertukar pengalaman mengejutkan apabila resort yang ditempah secara dalam talian didapati sudah terbiar sebaik mereka tiba di lokasi.
Menurut laporan, wanita terbabit kemudian berkongsi pengalaman itu menerusi TikTok sebagai peringatan kepada orang ramai, dengan video berkenaan meraih lebih 2.4 juta tontonan.
Wanita itu berkata, dia membuat tempahan penginapan menerusi sebuah aplikasi selain menyemak lokasi resort itu di daerah Khlong Yai, wilayah Trat, Thailand di Google Maps sebelum perjalanan dilakukan.
Selepas melihat gambar dan ulasan positif di internet, wanita berkenaan percaya resort tersebut masih beroperasi sebelum meneruskan tempahan.
Bagaimanapun, sebaik tiba bersama keluarganya, mereka mendapati resort itu sudah ditinggalkan dan tidak berpenghuni, sekali gus menyebabkan mereka tiada tempat untuk bermalam.
Pada masa sama, resort berkenaan masih dipaparkan di Google Maps seperti premis yang sedang beroperasi, manakala laman sesawangnya juga masih boleh diakses.
Platform tempahan penginapan turut dilaporkan masih membenarkan tempahan dibuat, namun akaun media sosial resort tersebut dilaporkan sudah tidak lagi aktif.
Senarai ulasan di Google juga kebanyakannya masih positif termasuk penilaian lima bintang yang diberikan sejak enam hingga sembilan bulan lalu.



