Nagatitan, dinosaur terbesar di Asia Tenggara

Nagatitan, dinosaur terbesar di Asia Tenggara

Bangkok: Di Thailand kira-kira 113 juta tahun lalu, seekor dinosaur pemakan tumbuhan gergasi bernama Nagatitan chaiyaphumensis hidup dan diiktiraf sebagai dinosaur terbesar diketahui dari Asia Tenggara.

Penyelidik di Thailand menemui tinggalan rangka Nagatitan, iaitu anggota dalam garis keturunan dinosaur dipanggil sauropod yang dikenali mempunyai leher panjang, ekor panjang, kepala kecil dan empat kaki seperti tiang.

Fosilnya pertama kali ditemui oleh seorang penduduk kampung di wilayah Chaiyaphum di timur laut Thailand sebelum ahli saintis menggali rangka berkenaan selama beberapa tahun.

Difahamkan, antara tulang yang ditemui termasuk tulang belakang, tulang rusuk, pelvis dan tulang kaki termasuk humerus sepanjang 1.78 meter (m).

Berdasarkan tulang humerus dan femur, penyelidik menganggarkan berat badan Nagatitan sekitar 25 hingga 28 tan.

Pelajar kedoktoran University College London, Thitiwoot Sethapanichsakul berkata, kepala dan giginya tidak ditemui namun ia dipercayai adalah pemakan tumbuhan dalam jumlah besar yang memakan tumbuhan seperti konifer dan paku pakis berbiji tanpa banyak mengunyah.

Ketika itu kawasan berkenaan mempunyai hutan, savana dan semak-samun serta dihuni dinosaur lain, pterosaur, buaya dan ikan termasuk jerung air tawar.

Pemangsa terbesar dalam ekosistem itu adalah dinosaur karnivor kira kira 8 m panjang dan 3.5 tan, namun jauh lebih kecil berbanding Nagatitan.

Dalam pada itu, Sethapanichsakul berkata, pada saiz berkenaan, Nagatitan hampir tidak mempunyai ancaman daripada pemangsa kerana saiznya yang terlalu besar.

Katanya, pemangsa biasanya hanya menyasarkan individu tua, sakit atau anak yang masih kecil kerana sauropod membesar dengan cepat selepas menetas bagi mengelakkan ancaman.

Bagaimanapun, Nagatitan lebih kecil berbanding sauropod gergasi Amerika Selatan seperti Argentinosaurus dan Patagotitan yang boleh mencapai lebih 100 kaki panjang.

Nama Nagatitan merujuk kepada Naga iaitu makhluk seperti ular dalam tradisi Asia yang turut digambarkan di kuil Thailand dan negara itu dilaporkan mempunyai 14 dinosaur yang dinamakan.

Nama itu juga dikaitkan dengan penggunaan perkataan titan bagi beberapa sauropod besar, dan Nagatitan dianggap mungkin ‘titan’ terakhir Asia Tenggara apabila kawasan itu kemudian menjadi laut cetek pada akhir Zaman Kapur.

Nagatitan memberikan gambaran tentang kepelbagaian sauropod di Asia Tenggara yang tidak banyak diketahui, selain tergolong dalam kumpulan dinosaur yang mempunyai struktur tulang ringan dengan ruang udara dalaman dan hidup ketika paras karbon dioksida meningkat serta suhu global tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top