Dikait dengan dana asing, NGO gesa Rafizi tampil perjelas dakwaan

Dikait dengan dana asing, NGO gesa Rafizi tampil perjelas dakwaan
Dikait dengan dana asing, NGO gesa Rafizi tampil perjelas dakwaan

Shahbudin berkata, Datuk Seri Rafizi Ramli perlu tampil menjelaskan dakwaan beliau yang dikaitkan dengan aliran dana asing.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli perlu tampil menjelaskan dakwaan dalam video tular yang mengaitkan beliau dengan aliran dana asing.

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dakwaan itu serius kerana melibatkan dakwaan campur tangan pihak luar dalam kancah politik tempatan.

Justeru katanya, beliau mahu polis membuat siasatan segera berdasarkan laporan yang telah dibuat bersama bukti-bukti yang dikemukakan.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kerana disyaki terdapat unsur pengkhianatan atau ancaman terhadap keselamatan negara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Tindakan pihak berkuasa adalah penting demi menjaga keselamatan dan kedaulatan Malaysia daripada campur tangan asing,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu pada Jumaat, SekPur membuat laporan polis berhubung video tular yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi itu dengan dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada organisasi luar negara menerusi sebuah proksi tempatan.

Menurutnya, nama Rafizi didakwa sebagai individu yang didakwa menggunakan dana berkenaan.

“Dana tersebut didakwa digunakan untuk menggerakkan naratif radikal di media sosial dan demonstrasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia. Tindakan itu dipercayai mempunyai agenda tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Shabudin yakin pihak berkuasa mempunyai maklumat berhubung dakwaan ini.

“Harap ada pendedahan dan tindakan segera dari pihak keselamatan. Jika terbukti benar, ia adalah ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru, ia perlu ambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

Scroll to Top