MAIWP jalin kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi

MAIWP jalin kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi menerusi pelaksanaan Program Inisiatif-Usahawan Makanan (IPR-Insan).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kerjasama itu inisiatif memperkasakan ekonomi golongan asnaf dan usahawan kecil di Wilayah Persekutuan.

“Melalui kerjasama ini, Kementerian Ekonomi akan menyediakan mesin ‘vending’ makanan serta subsidi sewa penuh selama 24 bulan.

“MAIWP pula menyediakan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membantu mereka menjana pendapatan secara mampan.

“MAIWP bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat secara rutin, sebaliknya mampu melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan MAIWP di bawah Program IPR-Insan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Nor Azmie Diron dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Zulkifli berkata, keunikan perlaksanaan inisiatif itu kali ini adalah pembabitan institusi masjid sebagai lokasi menempatkan mesin layan diri berkenaan.

“Jika sebelum ini, mesin layan diri mula diletakkan di Masjid Abu Ayyub Al-Ansari dan hari ini kita melangkah setapak dengan menjadikan Masjid Wilayah Persekutuan sebagai lokasi seterusnya.

“Masjid Wilayah bukan sekadar tempat ibadah tetapi kini turut berfungsi sebagai Hab Ekonomi Ummah sekali gus membuktikan bahawa masjid mampu menjadi pusat transformasi sosio-ekonomi.

“Kita merancang untuk terus memperluas penempatan mesin layan diri ini ke masjid utama yang lain serta ke pejabat-pejabat MAIWP,” katanya.

Katanya, MAIWP sudah mengagihkan RM449,839 dana zakat meliputi 38 skim bantuan selain bantuan secara tidak langsung menerusi program pembangunan asnaf serta melalui institusi pendidikan milik MAIWP.

“Dengan adanya inisiatif ini, ia diharap dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan golongan asnaf sehingga mampu menjadi penyumbang zakat pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Akmal berkata, Program IPR-Insan menunjukkan pencapaian positif dengan merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak RM20.46 juta sehingga Mac lalu.

“Sebanyak 1,125 mesin layan diri dipasang di seluruh negara sehingga 5 Mei lalu. Daripada jumlah itu, seramai 712 peserta mencatatkan hasil jualan kumulatif melebihi RM2,000 sejak mula beroperasi.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa program itu bukan sekadar program bantuan tetapi peluang kepada rakyat untuk berniaga, membina pendapatan sendiri serta keluar daripada kemiskinan dengan lebih berdikari,” katanya.

Akmal berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi melanjutkan tempoh perlaksanaan program itu selama 24 bulan lagi.

“Ia bagi membolehkan manfaat program berkenaan dapat diteruskan kepada lebih ramai rakyat dalam kategori berpendapatan rendah (B40)

“Ini terutamanya di kawasan perbandaran supaya ia dapat membantu meningkatkan pendapatan serta mempertahankan maruah kehidupan keluarga mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top