AMPANG: Penyanyi dan komposer, Yuna, mengakui dia dan rakan penerbit muzik di Amerika Syarikat pernah bereksperimen menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan lagu ketika teknologi itu mula berkembang di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai, 40, berpendapat karya yang dihasilkan AI masih tidak mampu menandingi sentuhan manusia, malah kedengaran janggal dan seolah-olah terdesak.
“Saya pernah berada di studio bersama beberapa penerbit di AS ketika AI baru mula berkembang. Waktu itu, kami sebagai penulis lagu cuba bereksperimen dengan memasukkan arahan untuk menghasilkan lagu.
“Apabila AI menghasilkan lagu itu, saya rasa bahasanya seperti terlalu ‘terdesak’ untuk mencipta sebuah lagu. Ia tidak sama seperti proses manusia berkarya apabila kita berhenti seketika, berfikir semula, menukar perkataan, mengubah melodi dan mencari rasa yang paling tepat.
“Bagi saya, AI tidak mempunyai sentuhan manusia itu, sedangkan sentuhan tersebut lahir daripada pengalaman hidup dan anugerah Tuhan,” katanya.
Yuna berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Ajar Aku di The Campus, Ampang, baru-baru ini.
Penyanyi lagu Crush itu turut menegaskan AI seharusnya hanya dijadikan alat bantuan dalam proses kreatif dan bukannya digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan karya muzik.
“Saya sememangnya tidak menggalakkan orang ramai bergantung kepada AI untuk menghasilkan karya. Bagi saya, AI sepatutnya digunakan untuk membantu memperbaiki seni dan karya yang kita hasilkan.
“AI bukan untuk mengambil alih sepenuhnya proses kreatif itu. Saya kurang bersetuju jika seseorang menggunakan suara AI sepenuhnya dan terus menghasilkan lagu.
“Sedangkan kita sudah mempunyai ramai artis berbakat, penulis lagu dan pengkarya yang mencari rezeki melalui bidang ini. Itulah ‘bread and butter’ mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Yuna mengakui AI mampu menjadi jalan pintas dalam penghasilan karya, namun elemen kemanusiaan tetap memainkan peranan penting untuk menjadikan sesebuah lagu lebih menyentuh jiwa.
“Bagi saya, sentuhan manusia itu sangat penting. Nilai kemanusiaan dalam sesebuah lagu juga sangat penting. Sebab itu kami cuba mengelakkan penggunaan AI dalam karya kami.
“Mungkin pandangan artis lain berbeza dan saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka. Kalau AI digunakan sekadar untuk mencetuskan idea awal atau sebagai permulaan dalam proses berkarya, saya masih boleh terima.
“Tetapi jika keseluruhan struktur lagu itu dihasilkan AI, bagi saya ia agak berbeza. Namun, pada masa sama saya sedar kita memang tidak boleh melawan perkembangan teknologi ini.
“Kita hanya perlu belajar hidup dengannya, tetapi seboleh-bolehnya masih mengekalkan elemen kemanusiaan dalam muzik dan karya yang dihasilkan,” katanya. -UTUSAN




