Nadiem Makarim Kejatuhan perintis teknologi Indonesia

Nadiem Makarim Kejatuhan perintis teknologi Indonesia

JAKARTA – Nadiem Anwar Makarim yang pernah diangkat sebagai usahawan teknologi perintis kini sedang berdepan kejatuhan paling besar dalam landskap politik dan perniagaan di Indonesia.

Pendakwaan terhadap bekas Menteri Pendidikan itu berhubung dakwaan rasuah dalam perolehan komputer riba Chromebook, enam tahun lalu telah mencetuskan kemarahan ramai terhadap apa yang dianggap sebagai hukuman penjara yang tidak adil ke atas pengasas bersama syarikat perkhidmatan e-hailing, Gojek berusia 42 tahun itu.

Nadiem yang menjadi simbol transformasi digital di Jakarta kini diheret ke muka pengadilan setelah namanya terpalit dengan skandal yang mengakibatkan kerugian 2.18 trilion rupiah (RM489 juta) kepada negara.

Nadiem didakwa telah meluluskan spesifikasi tender yang diubah suai supaya hanya Chromebook memenuhi syarat dalam pembelian komputer riba untuk sekolah di kawasan pedalaman antara 2019 dan 2022 walaupun pasukan penyelidik kementeriannya menasihatkan agar ia tidak diteruskan kerana dianggap kurang efektif di lokasi yang tidak mendapat akses internet secara meluas.

Pendakwa raya turut menuduh Nadiem mengaut kira-kira 809 bilion rupiah (RM181 juta) melalui perolehan Chromebook tersebut untuk kepentingan peribadinya dalam pelaburan Google terhadap syarikat induk Gojek ketika itu, PT Aplikasi Karya Anak Bangsa walaupun ia tidak terlibat langsung dalam perolehan komputer riba berkenaan.

Pejabat Peguam Negara (AGO) juga menuntut beliau membayar restitusi 5.6 trilion rupiah (RM1.3 bilion) kepada negara dan denda berjumlah 1 bilion rupiah (RM224,335).

Beliau dikerumuni kumpulan ojol yang berhimpun di luar Mahkamah Daerah Jakarta Pusat pada Rabu. - Foto Agensi

Beliau dikerumuni kumpulan ojol yang berhimpun di luar Mahkamah Daerah Jakarta Pusat pada Rabu. – Foto Agensi

Nadiem menyifatkan hukuman penjara tersebut sebagai tidak masuk akal dan tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan beliau memperoleh keuntungan peribadi di bawah projek tersebut.

Pendapat sama diberikan peguam hak asasi manusia terkemuka, Todung Mulya Lubis yang membandingkan kes Nadiem dengan bekas Menteri Perdagangan, Thomas Lembong yang dihukum penjara berhubung skandal rasuah import gula sebelum hukuman itu digugurkan Presiden pada 2025.

“Kedua-duanya ialah pegawai awam yang didakwa atas keputusan dasar sedangkan ia hak mereka. Sepanjang perbicaraan tiada bukti dikemukakan bahawa Nadiem memperoleh manfaat untuk diri sendiri. Ia sudah jelas menunjukkan kelemahan kes tersebut,” ujarnya.

Todung turut memberi amaran bahawa pihak pendakwa sepatutnya mempunyai pemahaman lebih baik tentang kerumitan tadbir urus moden dan perniagaan sektor swasta.

“Jika tidak, keputusan seperti itu akan melemahkan semangat ahli perniagaan dan golongan profesional muda tempatan yang berbakat untuk menyertai perkhidmatan awam pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

Pihak pembelaan dijangka mengemukakan hujah penutup pada 2 Jun ini, berikutan Nadiem Makarim perlu menjalani pembedahan akibat fistula perianal (saluran jangkitan pada dubur). Hakim turut membenarkan beliau dipindahkan ke tahanan rumah atas faktor kesihatan.

Dikagumi Jokowi

Nadiem melancarkan Gojek pada 2010 ketika infrastruktur digital Indonesia masih belum dibangunkan untuk platform bergantung kepada internet.

Namun beliau terus maju dan berjaya mendapatkan pembiayaan awal daripada pelabur utama seperti NSI Ventures dan Sequoia Capital.

Menjelang 2019, Gojek menjadi ‘decacorn’ pertama Indonesia dengan nilai AS$10 bilion (RM39.5 bilion) dan telah berkembang ke seluruh Asia Tenggara serta mewujudkan jutaan peluang pekerjaan.

Pentadbiran Presiden Joko Widodo atau Jokowi ketika itu kagum dengan pencapaiannya lalu memujuk Nadiem untuk menyertai politik pada 2019 sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan. Pada 2021, portfolio kementeriannya diperluaskan merangkumi bidang penyelidikan dan teknologi.

Ketika bergelar Menteri Pendidikan, beliau memperkenalkan Kurikulum Merdeka iaitu satu pendekatan yang bertujuan mengubah sistem pendidikan Indonesia ke arah kreativiti, minat pelajar dan kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel termasuk bilik darjah digital.

Ia memansuhkan sistem peperiksaan kebangsaan yang telah digunakan berdekad lamanya dan aliran sekolah menengah yang lebih ketat.

Di bawah pentadbiran baharu, Presiden Prabowo Subianto, pihak pendakwa raya mula menyiasat program besar perolehan Chromebook yang dilaksanakan Nadiem dari tahun 2020 hingga 2022.

Projek bernilai 9.3 trilion rupiah (RM2.1 bilion) itu bertujuan membekalkan kira-kira 1.2 juta komputer riba kepada sekolah di seluruh negara.

Penyiasat mendapati banyak peranti tidak boleh digunakan di kawasan pedalaman kerana Chromebook memerlukan akses internet yang stabil sedangkan kemudahan itu tidak tersedia di luar bandar besar.

Selepas tiga pusingan soal siasat, Nadiem dinamakan sebagai suspek dan ditahan pada 4 September 2025. Imej beliau memakai jaket tahanan berwarna merah jambu dan bergari kemudiannya tular di seluruh platform media sosial.

Kehidupan awal

Nadiem Makarim dilahirkan di Singapura pada 1984 dan merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Bapanya, Nono Anwar Makarim ialah peguam terkenal manakala ibunya, Atika Algadri bekas penuntut Universiti Harvard.

Beliau menamatkan persekolahan di United World College of Southeast Asia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Brown University serta melanjutkan pengajian di London School of Economics sebelum mengikuti program MBA di Harvard Business School.

Nadiem pernah bekerja di McKinsey & Company sebagai perunding pengurusan menjadi pengasas bersama Zalora Indonesia dan berkhidmat sebagai ketua pegawai inovasi di syarikat pembayaran digital, Kartuku sebelum menubuhkan Gojek.

Beliau berkahwin dengan Franka Franklin dan dikurniakan tiga cahaya mata. – Agensi

 

 

Scroll to Top