KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Ekonomi dalam usaha memperkasa ekonomi golongan asnaf dan usahawan kecil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, program lnisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-Insan) itu cerminan komitmen kerajaan dalam membangunkan rakyat secara menyeluruh menerusi pendekatan ‘whole-of-government’.
“Melalui kerjasama ini, Kementerian Ekonomi menyediakan mesin layan diri makanan serta subsidi sewa penuh selama 24 bulan.
“MAIWP pula menyediakan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, bagi membantu mereka menjana pendapatan secara mampan,” katanya ketika berucap di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Zulkifli berkata, MAIWP bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat secara rutin sebaliknya mahu melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Kita sudah mengenal pasti 50 usahawan asnaf yang akan kita bantu bukan hanya dengan modal tetapi dan juga dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan.
“MAIWP akan melihat lokasi berpotensi seperti masjid dan universiti untuk diletakkan mesin layan diri ini kerana ia bukan sahaja membantu usahawan asnaf kita tetapi juga membantu rakyat dapatkan makanan dengan harga berpatutan,” katanya lagi.
Masjid Wilayah Persekutuan turut dijadikan lokasi baharu penempatan mesin vending sebagai usaha memperkukuh fungsi masjid sebagai hab ekonomi ummah.

Dr Zulkifli bersama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah bergambar pada majlis Perasmian Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan MAIWP Di Bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan inisiatif itu telah menunjukkan hasil yang positif apabila sebanyak 1,125 unit mesin layan diri telah dipasang di seluruh negara.
Tambah beliau, program itu telah merekodkan jualan sebanyak RM20.46 juta setakat Mac lalu.
“Selain itu, seramai 712 peserta aktif mencatatkan hasil jualan kumulatif melebih RM2,000 sejak mula beroperasi.
“Kerjasama dengan MAIWP amat tepat pada masanya dan gabungan ini membolehkan IPR-Insan dilaksanakan dengan lebih bersasar,” ujarnya.
Menurut Akmal Nasrullah, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi pelanjutan program IPR-Insan selama 24 bulan lagi supaya manfaat IPR dapat diperluaskan.



