Dua lelaki cuba seludup 1,207 kg minyak masak ditahan

Dua lelaki cuba seludup 1,207 kg minyak masak ditahan

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua lelaki dan merampas 1,207 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di Banggol Chicha, dekat Pasir Mas, malam tadi.

Operasi yang bermula 10 malam dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu berjaya menahan dua lelaki berusia 22 dan 27 tahun.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor selepas menerima maklumat risikan berhubung sebuah kereta jenis Perodua Alza yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan dan penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran.

Menurutnya, pegawai serbuan kemudiannya mengekori kenderaan terbabit dari Bulatan Lemal menghala ke Rantau Panjang sebelum pemandunya bertindak memandu secara melulu dan berbahaya sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kenderaan itu akhirnya berjaya dipintas di hadapan sebuah rumah dan pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak masak peket satu kilogram disimpan di bahagian tempat duduk belakang serta bonet kenderaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,207 kilogram minyak masak bersubsidi yang kemudian disita bersama sebuah motokar Perodua Alza.

“Keseluruhan rampasan dipercayai cuba diseleweng untuk dibawa ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, KPDN Kelantan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top