mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan penyokong Harimau Malaya, Ultras Malaya terus mempersoalkan pendirian pihak berkaitan berhubung isu tujuh pemain warisan yang didakwa terbabit dengan pemalsuan dokumen sehingga menyebabkan skuad kebangsaan dikenakan tindakan di peringkat antarabangsa.
Menerusi satu kenyataan, kumpulan itu menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya terus ‘diputar’ sehingga menimbulkan persepsi pihak bertanggungjawab cuba melepaskan diri daripada polemik yang semakin mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Menurut mereka, kenyataan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) seolah-olah menggambarkan masyarakat tidak memahami perbezaan antara proses pemberian kewarganegaraan dan kelayakan pemain untuk beraksi di bawah seliaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
UM turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil langkah mencabar keputusan FIFA dan juga Court of Arbitration for Sport (CAS) sekiranya benar semua proses pemberian kerakyatan dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan cuba asingkan peranan kerajaan dalam rantaian dokumen yang digunakan untuk proses kelayakan bermain di peringkat FIFA.
“Menteri kata proses kewarganegaraan ikut Perlembagaan. Baik. Kita mudahkan cerita. Jika FIFA salah dalam pendedahan mereka, cabar FIFA. Jika CAS salah dalam keputusan mereka, cabar CAS.
“Jika dapatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) salah, jawab dapatan IIC secara rasmi. Jika semua pembongkaran itu fitnah, pertahankan nama Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, UM turut membangkitkan persoalan mengenai peranan agensi kerajaan dalam proses semakan dokumen pemain terbabit sebelum kewarganegaraan diluluskan.
Mereka menegaskan kenyataan saksi daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini jelas menyentuh mengenai proses semakan dan dokumen yang digunakan dalam permohonan kerakyatan.
“Sekarang, apabila Menteri menyatakan kerajaan tidak terbabit dalam proses kelayakan kerana tertakluk kepada statut FIFA, persoalannya mudah.
“Kenyataan saksi daripada Ketua Pengarah JPN yang menerangkan proses semakan, dokumen tujuh pemohon dan asas pemberian kewarganegaraan itu datang daripada kerajaan negara mana?
“Dalam keadaan wujud percanggahan, beban untuk menjelaskan terletak pada pihak yang mengeluarkan dan mengesahkan dokumen, bukan pada rakyat untuk meneka,” katanya.
UM turut melihat naratif sama terus dimainkan meskipun keputusan sudah dibuat oleh FIFA dan CAS selepas kes itu melalui proses pengadilan di peringkat antarabangsa.
Katanya, isu berkenaan kini bukan lagi sekadar membabitkan bola sepak semata-mata, sebaliknya sudah menyentuh soal integriti dan kedaulatan negara.
“Lebih penting, apabila kandungan dan asas dokumen itu kemudian bercanggah dengan dapatan FIFA, kenapa masih mahu buat seolah-olah kerajaan langsung tidak ada kena-mengena?,”.
UM sebelum ini turut mengemukakan beberapa tuntutan termasuk mendesak kerakyatan tujuh pemain terbabit ditarik balik selain mengumumkan tindakan boikot terhadap skuad kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




