‘Nak kuburkan UMNO? Kita jangan melebihi kuasa ALLAH’ – Akmal Saleh

‘Nak kuburkan UMNO? Kita jangan melebihi kuasa ALLAH’ – Akmal Saleh

SHAH ALAM – Tiada mana-mana pihak mampu menentukan nasib sesebuah parti politik termasuk UMNO kerana segala-galanya bergantung kepada kehendak rakyat dan ketentuan ALLAH SWT.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semua pihak perlu menghormati hak rakyat dan tidak bersikap seolah-olah mempunyai kuasa untuk menentukan hayat politik parti tersebut.

“Nak kuburkan UMNO?’ Kita jangan melebihi kuasa ALLAH. Biar rakyat yang buat keputusan, kita berusaha dan serahkan pada ALLAH.

“Alang-alang nak kuburkan UMNO, rasanya dah sampai masa juga UMNO keluar sahaja dari Kerajaan Perpaduan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas reaksi segelintir pihak susulan pengumuman Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, media melaporkan Pakatan Harapan (PH) tekad untuk menguburkan BN di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas gabungan itu mengumumkan untuk bergerak secara solo.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana pihaknya pernah memenangi sehingga 38 kerusi DUN Johor sebelum ini.

Dalam hantaran sama, Akmal berkata, pihak terbabit sepatutnya gembira kerana mempunyai peluang untuk bertanding di lebih banyak kerusi seperti diidamkan sebelum ini.

“Bila BN umumkan nak bertanding semua DUN di Johor yang paling meroyan puak-puak mereka pula,” ujarnya lagi.

Scroll to Top