KUANTAN – Tradisi politik tanah air yang lazimnya menyaksikan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen sebagai calon automatik ‘poster boy’ atau perdana menteri tidak terpakai secara mutlak dalam Pas.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, pelantikan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang boleh dianggap sebagai petunjuk atau ramalan ke arah jawatan Perdana Menteri ke-11 (PM11), namun ia tetap tertakluk kepada keputusan parti.
“Walaupun kebiasaannya ketua pembangkang ini adalah calon poster boy dan juga PM, namun di peringkat Pas kita tidak mengambil itu sebagai satu ketetapan.
“Sesiapa sahaja daripada Pas yang berkelayakan boleh menjadi poster boy mahupun PM asalkan mendapat kelulusan ataupun keputusan sokongan daripada parti,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan Naib Presiden Pas sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Andansura berkata, pelantikan Ahamd Samsuri itu menunjukkan kepercayaan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) terhadap kewibawaan parti tersebut.
“Kita menganggap bahawa keyakinan rakan-rakan PN kepada Pas untuk memimpin koalisi ini adalah tinggi dan kita ucap terima kasih di atas keyakinan diberikan.
“Kami yakin bahawa Pas boleh mengurus dan juga memimpin PN ini ke peringkat yang baik tanpa menafikan kepimpinan daripada parti-parti lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Andansura berkata, pelantikan itu turut menggambarkan keupayaan Pas mengetengahkan pemimpin muda dan teknokrat.
“Kita memandang pelantikan Ahmad Samsuri ini sebagai keyakinan daripada rakan-rakan terhadap keupayaan kepimpinan kita sebagai orang muda dan teknokrat.
“Maka kita tampilkan bahawa Pas ini bukan hanya Pak lebai saja kita ada ramai pemimpin yang berkelayakan, berkebolehan, berpengalaman sama ada dari pelbagai bidang termasuklah dalam bidang keagamaan itu sudah semestinya.
“Kita harap dengan kepimpinan ini anak-anak muda terutama sekali boleh beri keyakinan kepada PN dalam pilihan raya yang akan datang,” jelasnya
Dalam pada itu, Andansura memaklumkan, rekod kepimpinan Ahmad Samsuri di Terengganu membuktikan keupayaan mentadbir negeri berkenaan.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai sekatan dan cabaran, Ahmad Samsuri berjaya mentadbir Terengganu hampir dua penggal serta membawa negeri itu ke kedudukan yang lebih baik.
“Ahmad Samsuri menyelesaikan permasalahan rakyat, beri tumpuan dan fokus kepada isu yang lama, gagal diselesaikan oleh pentadbiran lalu dan diselesaikan dengan baik,” jelasnya.
Andansura menambah, pendekatan dan personaliti bersahaja yang ditonjolkan Ahli Parlimen Kemaman itu turut disenangi pelbagai lapisan masyarakat.
“Kesederhanaan bersama masyarakat menjadi nilai tambah kepada Ahmad Samsuri.
“Saya berharap pendekatan kepimpinan berimej profesional itu mampu menarik sokongan golongan muda pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Pada Sabtu, PN melantik Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang yang baharu bagi menggantikan penyandang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketetapan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Tertinggi gabungan itu yang dipengerusikan Ahmad Samsuri.



