
Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad. Foto Bernama.
JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke menyifatkan tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengambil alih Parti Bersama Malaysia (MU), sebagai satu perkembangan politik yang perlu diteliti dari sudut perundangan.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, sebarang implikasi undang-undang berkaitan langkah tersebut perlu diperhalusi termasuk Speaker Dewan Rakyat, bagi memastikan ia selaras dengan peraturan sedia ada.
“Itu mungkin ada implikasi terhadap dari segi perundangan.
“Itu kena lihat, pihak speaker kena buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, pada Ahad.
Menurut Anthony prinsip asas dalam sistem demokrasi berparlimen perlu dihormati, khususnya apabila seseorang dipilih sebagai wakil rakyat.
“Walaupun saya menghormati pendirian mereka ( Rafizi dan Nik Nazmi), mungkin dia kata sudah kecewa dan sebagainya, tetapi sepatutnya kena kekal sehingga akhir penggal.
“Sekarang mereka tahu pun, sekarang sudah lebih tiga tahun, letak jawatan pun tak ada pilihan raya kecil
“Jadi itu yang saya kata bahawa patutnya prinsipnya adalah apabila kita dah menang atas kapasiti parti, kita kena kekal sehingga akhir penggal,” ujarnya lagi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (MU).
Sebagai rekod, MU merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.



