Sabun kosmetik murah dijual online rupanya daripada sisa terpakai

Sabun kosmetik murah dijual online rupanya daripada sisa terpakai
Sabun kosmetik murah dijual online rupanya daripada sisa terpakai

Pihak berkuasa berkata, kilang kecil itu mampu menghasilkan kira-kira 1,000 ketul sabun sehari dan menerima sehingga 900 tempahan setiap hari.

BANGKOK – Sebuah premis pengeluaran kosmetik tidak berlesen diserbu pihak berkuasa Thailand selepas didapati memproses semula sisa sabun dari beberapa kilang sebelum dijual secara dalam talian pada harga murah.

Menurut laporan Thaiger, serbuan dijalankan oleh Biro Siasatan Pusat Thailand (CIB) selepas menerima aduan pengguna mengalami alahan dan masalah kesihatan dipercayai berpunca daripada produk kosmetik dijual secara dalam talian.

Siasatan membawa kepada penemuan sebuah rumah di daerah Bang Khae yang dijadikan lokasi pengeluaran pelbagai produk sabun sebelum dipasarkan menerusi platform e-dagang pada harga murah.

Produk terbabit turut dipromosikan dengan dakwaan melampau termasuk diperbuat daripada 100 peratus herba dan mampu merawat masalah kulit seperti jerawat dan tompok hitam.

Pihak berkuasa Thailand menyerbu premis kosmetik tidak berlesen di Bangkok selepas didapati memproses semula sisa sabun dari beberapa kilang dan menjualnya secara dalam talian.

Pihak berkuasa Thailand menyerbu premis kosmetik tidak berlesen di Bangkok selepas didapati memproses semula sisa sabun dari beberapa kilang dan menjualnya secara dalam talian.

Seorang wanita Thailand berusia 45 tahun dikenali sebagai Nongnart mengaku menjalankan operasi itu tanpa lesen sah selepas mempelajari kaedah pembuatan sabun menerusi video YouTube.

Menurut polis, suspek membeli sisa sabun daripada beberapa kilang pada harga antara 30 (RM3.63) hingga 40 baht (RM4.85) sekilogram sebelum diproses semula menjadi 12 jenis wangian dan dijual secara dalam talian pada harga empat baht (RM0.48) hingga 10 baht (RM1.21) seketul.

Pihak berkuasa berkata, kilang kecil itu mampu menghasilkan kira-kira 1,000 ketul sabun sehari dan menerima sehingga 900 tempahan setiap hari.

Wanita terbabit dipercayai meraih pendapatan sekitar 50,000 baht (RM6,056) sebulan sejak memulakan operasi tahun lalu.

Suspek kini berdepan beberapa pertuduhan mengikut Akta Kosmetik Thailand termasuk menghasilkan dan menjual produk kosmetik tiruan serta tidak berdaftar.

Polis memaklumkan ujian makmal lanjut akan dijalankan terhadap produk dan bahan dirampas, selain tidak menolak pertuduhan tambahan sekiranya terdapat bahan berbahaya atau terlarang ditemukan.

Scroll to Top