am@hmetro.com.my
Gua Musang: Lebih 3,000 penduduk di Felda Chiku 1 dan 2 mendakwa jalan utama di kawasan tanah rancangan itu tidak pernah diturap sejak 40 tahun lalu dan merayu supaya ia dapat diturap.
Penduduk mendakwa, selama ini jalan terbabit hanya ditampal apabila berlaku kerosakan.
Pengerusi Belia Felda Chiku 2, Muhammad Zaidatul Azizi Mohd Zaidatul Azman berkata, disebabkan keadaan jalan yang rosak itu menyebabkan kerap berlaku kemalangan.
Katanya, laluan itu adalah jalan utama bagi penduduk di sekitar Felda Chiku 1 dan 2 serta Felda Perasu untuk ke kilang sawit selain untuk keluar dari kawasan Felda itu.
“Setiap hari pelbagai kenderaan melalui jalan ini terutama pada awal pagi untuk menghantar anak sekolah atau ke tempat kerja. Kerana jalan yang rosak ini, pengguna terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan.
“Sudah kerap kali berlaku kemalangan terutama kepada penunggang motosikal apabila jalan yang tidak rata dan berlubang menyebabkan kenderaan mereka terbalik.
“Saya difahamkan sudah ada permohonan dibuat oleh wakil peneroka untuk menurap kembali jalan ini dan saya harap ia dapat dipercepatkan,” katanya ketika ditemui di Felda Chiku 1, di sini.
Seorang lagi penduduk, Hamid Mat Hasan, 64, berkata, sejak dia tinggal di Felda itu selama 40 tahun lalu, jalan utama di dalam kawasan tidak pernah berturap baharu dan hanya ditampal apabila rosak dan berlubang.,
Katanya, struktur jalan itu sudah semakin rosak dan perlu diturap baharu untuk keselesaan penduduk di sini.
“Saya harap permohonan kami untuk menurap baharu jalan ini dapat dipercepatkan untuk kemudahan dan keselesaan serta menjamin keselamatan penduduk di sini.
“Sudah 40 tahun saya tinggal di sini dan jalan ini yang menjadi laluan utama penduduk serta berhadapan rumah saya tidak pernah diturap baharu.
“Struktur jalan yang tidak rata ini juga menyebabkan kenderaan pengguna yang selalu melaluinya rosak sehingga pemilik terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk membaikinya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




