
Mohamed Ridza mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengerusi Global LAWorld.
RAKAN Pengurusan Mohamed Ridza & Co, Datuk Mohamed Ridza Abdulla mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengerusi Global LAWorld.Mohamed Ridza Abdulla mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengerusi Global LAWorld
LAWorld merupakan rangkaian antarabangsa firma guaman bebas yang mempunyai kehadiran di pusat komersial utama dunia sejak penubuhannya 30 tahun lalu.
Pelantikan Mohamed Ridza itu disahkan pada 8 Mei lalu selepas beliau menerima sokongan sebulat suara ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan LAWorld di Lisbon, Portugal.
LAWorld menghimpunkan hampir 70 firma guaman bersaiz sederhana melibatkan lebih 1,500 peguam di lebih 100 bandar di seluruh dunia bagi menyediakan khidmat nasihat perundangan rentas sempadan.
Mohamed Ridza dilantik selepas hampir dua dekad bersama LAWorld sejak Mohamed Ridza & Co menyertai rangkaian itu pada 2007 sebagai firma ahli mewakili Malaysia.
Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan Bendahari dan Pengerusi Serantau Asia Pasifik LAWorld.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam kanan bersekutu Mohamed Ridza & Co, Muhammad Akhlil turut dilantik sebagai Pengarah Program NextGen LAWorld bagi rantau Asia Pasifik.
Sebagai Pengerusi Global, Mohamed Ridza akan memberi fokus kepada peluasan keahlian LAWorld di wilayah yang kurang diwakili termasuk Afrika dan rantau Teluk, selain memperkukuh kerjasama serantau, pembangunan kepimpinan serta tadbir urus digital rangkaian itu.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, pelantikan berkenaan adalah penghormatan besar dan tanggungjawab penting untuk memastikan LAWorld terus mencapai tahap kecemerlangan lebih tinggi.
“LAWorld membolehkan kami membantu pelanggan Malaysia dan antarabangsa meneroka pasaran global secara lancar menerusi pusat sehenti, selain membantu firma ahli di seluruh dunia memberi nasihat berkaitan pelaburan di Malaysia,” katanya.
Pelantikan beliau berkuat kuasa serta-merta.



