Kerusi Parlimen bukan persinggahan, cagaran politik – Pemuda UMNO Setiawangsa

Kerusi Parlimen bukan persinggahan, cagaran politik – Pemuda UMNO Setiawangsa

SHAH ALAM – Kerusi Parlimen bukan milik mana-mana individu untuk dijadikan tempat persinggahan politik mahupun cagaran rundingan jika berlaku krisis dalam sesebuah parti.

Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Fadzmel Fadzil berkata, mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya bukan hanya kepada seorang calon tetapi juga kepada parti, perjuangan dan kepercayaan yang dibawa.

“Jadi, sebarang langkah berkaitan kedudukan kerusi Parlimen mestilah ditangani secara serius, tertib dan berpandukan proses Perlembagaan.

“Kalau ia termaktub juga, saya rasa elok lah Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang besar akan berlangsung tak lama lagi. Setiawangsa tak boleh jadi pentas drama elit politik,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar parti, seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa pada Isnin.

Pengumuman itu dibuat oleh kedua-dua bekas menteri berkenaan ketika majlis pengumuman hala tuju politik yang berlangsung di Petaling Jaya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Rafizi, Nik Nazmi rasmi hantar surat letak jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat

Rafizi, Nik Nazmi ambil alih Parti Bersama Malaysia

Rafizi, Nik Nazmi umum keluar PKR, kosongkan kerusi Parlimen

Nik Nazmi, Rafizi khianati mandat rakyat – AMK

‘Saya dan Nik Nazmi tidak terikat bon RM10 juta PKR’ – Rafizi

Rafizi, Nik Nazmi keluar parti PKR, kosong kerusi Parlimen: Saya tak follow lagi – Anwar

Mengulas lanjut, Fadzmel menjelaskan, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat Setiawangsa untuk menilai kerja yang dilakukan Nik Nazmi yang menyandang kerusi berkenaan sejak 2018 lalu.

“Semalam, beliau berbicara tentang perjuangan panjang, keberanian memulakan langkah reformasi, serta keputusan meninggalkan perjuangan lama kerana mendakwa reformasi yang diperjuangkan suatu ketika dahulu kini hanya tinggal janji.

“Satu kebetulan yang menarik.. suara sebegini hanya benar-benar kedengaran selepas beliau tidak lagi menjadi Naib Presiden PKR,” katanya.

Bagaimanapun, Fadzmel menegaskan beliau tidak berhasrat untuk mengulas panjang berkenaan isu dalaman parti lain, sebaliknya menyerahkan kepada warga Setiawangsa untuk menilai sendiri prestasi wakil rakyat itu sejak tahun 2018.

Tambahnya, rekod perkhidmatan seseorang dalam dunia politik tidak boleh di’solek’ dengan mudah kerana rakyat tahu setiap apa yang dilakukan.

“Di sini, rakyat tidak menunggu babak baharu perebutan kuasa. Mereka menunggu penyelesaian kepada kos sara hidup, kesesakan trafik, masalah parkir, keselamatan komuniti, penyelenggaraan kawasan perumahan dan peluang yang lebih baik untuk anak muda.

“Sebagai seorang kenalan, saya mendoakan yang terbaik buat YB Nik Nazmi dalam perjalanan politik baharu beliau,” katanya lagi.

 

Scroll to Top