am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menggunakan ‘fleet card’ membabitkan pemilik stesen minyak dan pemborong.
Mereka dipercayai memanipulasi kuota pembelian bahan api itu sebelum dijual semula di pasaran, menerusi serbuan Op Tiris 4.0 ke atas sebuah stor berlesen, di sini, petang tadi.
Serbuan jam 3 petang bersama Cawangan Khas (E5), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu dilaksanakan berdasarkan hasil maklumat risikan dan pemantauan yang telah dijalankan sejak tiga minggu lalu.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, pemeriksaan di lokasi menemui 13 ‘fleet card’ dan menahan tujuh individu membabitkan pemilik, pemborong serta pekerja warga tempatan berusia lingkungan 50 hingga 60-an.
“Modus operandi sindiket ini adalah menyalahgunakan ‘fleet card’ yang diberikan yang mana tauke (pemilik stesen minyak yang juga pemborong) menggunakan tiga ‘prime mover’ (kepala lori) dengan mengangkut ‘skid tank’ (tangki kosong) untuk membuat pengisian diesel sebanyak 13 kali sehari mengikut 13 ‘fleet card’ yang dimiliki. Jika banyak ‘fleet card’, lebih banyak pengisian berulang akan dibuat.
“Malah, sindiket ini hanya menggunakan sebahagian sahaja lori untuk bergerak yang tindakan itu tidak diketahui memandangkan stesen minyak terbabit hanya terletak bersebelahan dengan stor, namun mendatangkan curiga selepas kita menyemak data pembelian diesel yang tinggi sejak tiga bulan lalu.
“Dari segi sistem ia tidak melanggar kuota kerana setiap ‘fleet card’ digunakan mengikut had yang dibenarkan namun kuota itu dipastikan habis digunakan sepenuhnya untuk tujuan penyelewengan yang membuatkan serbuan dijalankan bersama polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media di stor berkenaan, di sini, hari ini.
Dalam serbuan itu, KPDN negeri menyita 10,600 liter cecair dipercayai minyak diesel bernilai RM53,000, tiga prime mover, pam, kamera litar tertutup (CCTV), resit pembelian serta beberapa dokumen perniagaan yang kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM205,000.
Jelas Jegan, siasatan lanjut dijalankan berhubung pasaran diesel terbabit tetapi tidak menolak kemungkinan ia dijual kepada industri bagi mengaut keuntungan yang tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




