Ogura mengaku silap, langgar Acosta di selekoh terakhir

Ogura mengaku silap, langgar Acosta di selekoh terakhir

BARCELONA: Pelumba Jepun, Ai Ogura mengakui kesilapan sendiri menjadi punca insiden dramatik yang menyaksikan Pedro Acosta tersungkur pada selekoh terakhir perlumbaan MotoGP Catalunya, semalam.

Pelumba Trackhouse Aprilia itu sebenarnya tampil cemerlang apabila bangkit daripada kedudukan ke-11 di grid semula sebelum memintas beberapa nama besar termasuk Fabio Quartararo dan Francesco Bagnaia untuk menghampiri kelompok depan.

Dalam masa sama, Acosta mula kehilangan rentak apabila dipintas Fabio Di Giannantonio sebelum turut dilepasi Joan Mir dan Fermin Aldeguer pada pusingan terakhir.

Ogura kemudian cuba melakukan gerakan agresif memburu tempat keempat di selekoh terakhir, namun pelanggaran dengan Acosta menyebabkan pelumba KTM itu terjatuh sekali gus mencetus kekecohan penamat perlumbaan.

“Ia memang perlumbaan yang pelik dengan tiga kali permulaan semula dan kami sebenarnya memiliki kelajuan yang baik sepanjang aksi berlangsung.

“Namun pada pusingan terakhir di selekoh terakhir, itu adalah kesilapan bodoh saya sendiri dan saya tidak sepatutnya melakukan gerakan tersebut,” kata Ogura.

Susulan insiden itu, Ogura dikenakan penalti tambahan tiga saat kerana menyebabkan pelanggaran, sekali gus menjatuhkannya daripada kedudukan keempat ke tangga kesembilan sebelum penalti tekanan tayar beberapa pelumba lain melonjakkannya semula ke tempat kelapan.

“Saya telah menjatuhkan seorang pelumba dan pada masa sama merosakkan keputusan sendiri, jadi ia langsung bukan sesuatu yang bagus.

“Saya perlu belajar daripada kesilapan ini dan pastikan perkara sama tidak berulang lagi selepas ini,” ujarnya. – AGENSI

Scroll to Top