Kementerian Luar desak Israel segera bebas 25 rakyat Malaysia

Kementerian Luar desak Israel segera bebas 25 rakyat Malaysia

nuratikah@bh.com.my

Subang: Kementerian Luar mendesak Israel segera membebaskan 25 rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa di luar pantai Cyprus ketika dalam misi kemanusiaan secara aman menuju ke Gaza.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penahanan peserta Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) itu bertentangan dengan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“Kita mendesak agar pihak Israel memberikan layanan yang sempurna kepada mereka dan membebaskan mereka dengan segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.

“Mereka tidak menceroboh dalam perairan Israel tetapi mereka jauh di luar.

“Namun mereka dipintas dan ramai rakyat negara lain turut sama ditahan oleh rejim Zionis Israel,” katanya ketika sidang media di di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, selepas tiba dari Myanmar bagi lawatan kerja ringkas, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye serta Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, atas bantuan membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan.

“Ada lima rakyat Malaysia yang ditahan pihak Greece selepas kapal mereka karam ketika cuba membawa pulang kapal berkenaan yang melanggar batu karang.

“Tiga peserta sudah dibebaskan, manakala kapten dan penolong kapten ditahan dan dibicarakan sebelum mahkamah membebaskan mereka.

“Mereka semua sudah kembali ke Istanbul,” katanya.

Terdahulu, Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 25 rakyat Malaysia yang berada di 15 kapal GSF 2.0 antara yang ditahan selepas puluhan kapal bantuan kemanusiaan dipintas tentera laut rejim Zionis Israel ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby, dilaporkan berkata sebanyak 40 kapal flotila membabitkan hampir 350 aktivis kemanusiaan dipintas dan diceroboh setakat jam 3 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top