Ronaldo ketuai cabaran Portugal di Piala Dunia 2026

Ronaldo ketuai cabaran Portugal di Piala Dunia 2026

Lisbon: Cristiano Ronaldo akan mengetuai Portugal ke Piala Dunia keenamnya pada usia 41 tahun selepas jurulatih Roberto Martinez menamakan skuad 27 pemain bagi kejohanan itu.

Martinez turut mengesahkan penjaga gol pilihan keempat Ricardo Velho dari Genclerbirligi akan turut bersama skuad, namun hanya boleh dimasukkan ke dalam senarai rasmi 26 pemain sekiranya salah seorang penjaga gol utama mengalami kecederaan.

Portugal, selaku juara bertahan Liga Negara-Negara UEFA akan membuka kempen Kumpulan K di Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada menentang DR Congo pada 17 Jun di Houston.

Mereka kemudian bertemu Uzbekistan di venue sama pada 23 Jun sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Colombia di Miami pada 27 Jun. Kejohanan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Martinez berkata pemilihannya membabitkan “27 pemain ditambah satu”, merujuk kepada penyerang Liverpool, Diogo Jota yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Julai tahun lalu ketika berusia 28 tahun.

“Dia kekuatan kami, kegembiraan kami,” kata Martinez. “Kehilangan Diogo adalah detik yang sukar dan tidak dapat dilupakan, tetapi keesokan harinya kami semua perlu meneruskan perjuangan demi impian Diogo dan contoh yang sentiasa ditunjukkannya bersama skuad kebangsaan. Semangat, kekuatan dan teladan Diogo Jota adalah +1 itu dan akan sentiasa menjadi +1.”

Martinez turut mempertahankan keputusannya membawa empat penjaga gol dan lima bek sisi, sambil mengetepikan beberapa pemain termasuk Mateus Fernandes, Ricardo Horta dan Pedro Goncalves.

“Cabaran kejohanan ini sangat besar, faktor cuaca, zon waktu dan segala yang kami alami pada Mac lalu. Ada posisi memerlukan lebih daripada dua pemain dan kami perlukan lima bek sisi,” katanya lagi.

Beliau memuji kemampuan versatil Diogo Dalot, Joao Cancelo dan Matheus Nunes, selain pilihan serangan seperti Joao Felix, Bruno Fernandes, Bernardo Silva dan Francisco Trincao yang mampu bergerak di ruang antara garisan lawan.

Sementara itu, Rafael Leao, Pedro Neto dan Francisco Conceicao dijangka memberikan ancaman dari bahagian sayap.

Portugal akan mengadakan aksi pemanas badan menentang Chile di Oeiras pada 6 Jun dan Nigeria di Leiria pada 10 Jun.

FIFA turut menetapkan skuad Portugal perlu berada di kem latihan mereka di Palm Beach, Florida sekurang-kurangnya lima hari sebelum perlawanan pembukaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top