KUALA LUMPUR: Buat kali kedua berturut-turut Malaysia tanpa wakil perseorangan lelaki ke pusingan kedua, selepas Leong Jun Hao dan Justin Hoh terkandas di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena dekat sini, hari ini.
Keadaan itu berbeza dengan perseorangan wanita yang mula mempamerkan kemajuan apabila dua wakil negara, K. Letshanaa dan Goh Jin Wei mara ke peringkat 16 terbaik, esok.
Jun Hao yang menghuni ranking No. 25 dunia akur kepada pemain ke-69 dunia, Hu Zhe An dari China 19-21, 21-23, manakala, Justin pula tewas di tangan pemain berpengalaman Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 16-21, 14-21.
Jun Hao berkata, dia gagal bermain baik berdepan wakil China tersebut dan usahanya untuk mendapatkan mata berjaya dibaca pencabarnya itu.
“Kalau saya kata yang saya tidak terganggu itu tak betul, tetapi, saya kena fokus juga. Lawan boleh ambil setiap mata yang saya usahakan dan ini menyebabkan saya tertekan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Justin pula memberikan alasan Ginting merupakan pemain yang sangat berpengalaman dan dia tidak pernah bertemu pemain Indonesia tersebut.
“Bagi saya ini satu proses pembelajaran untuk saya berdepan pemain-pemain yang berada dalam ranking 10 atau 20 terbaik dunia. Jujur saya katakan perseorangan lelaki memang berada dalam keadaan tertekan,” katanya.
Dalam acara perseorangan wanita, Jin Wei membuka aksi Malaysia, hari ini dengan kejutan ke atas pemain No. 18 dunia, Busanan Ongbamrungphan dari Thailand 21-6, 16-21, 21-10 dalam masa 51 minit.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan sulung Jin Wei ke atas Busanan, selepas pemain yang menghuni ranking ke-55 dunia itu tewas dalam kesemua empat pertemuan lalu.
Pada peringkat 16 terbaik, esok, Jin Wei bakal berdepan pemain ke-71 dunia, Ashmita Chaliha dari India.
Letshanaa pula mengambil masa selama 56 minit untuk menewaskan pemain ke-39 dunia, Amalie Schulz dari Denmark 21-13, 19-21, 21-15.
Pemain yang berada di ranking ke-32 dunia itu bakal berdepan ujian getir menentang bintang muda Jepun, Tomoka Miyazaki yang merupakan jaguh No. 9 dunia.
Seorang lagi wakil perseorangan wanita, Wong Ling Ching kurang bernasib baik apabila tumpas dalam aksi sengit kepada pemain No. 21 dunia, Nguyen Thuy Linh dari Vietnam 21-12, 13-21, 23-25 dalam masa 1 jam 11 minit. – UTUSAN




