firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC berdepan ujian getir menjelang aksi timbal balik final menentang Buriram United di Thailand Rabu depan selepas tewas 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.
Dalam aksi final pertama itu, skuad Gergasi Merah kendalian Kim Pan-gon tewas tipis dan kini perlu bangkit memburu kemenangan di laman lawan bagi memadam kelebihan dimiliki gergasi Thailand itu nanti.
Buriram terlebih dahulu mengejutkan penyokong tuan rumah menerusi jaringan penyerang sensasi mereka, Suphanat Mueanta pada minit ke-25 selepas memanfaatkan kelonggaran benteng pertahanan Selangor.
Tersentak dengan gol itu, Selangor menggandakan asakan dan berjaya meledak bola ke gawang lawan menerusi Mohammad Abualnadi pada minit ke-31, namun jaringan berkenaan dibatalkan selepas pengadil mengesan kedudukan ofsaid.
Tuan rumah terus menekan dan hampir menyamakan kedudukan menjelang tamat babak pertama, namun tandukan Chrigor Moraes pada minit ke-42 sedikit tersasar selepas menerima hantaran sepakan percuma.
Buriram hampir menambah derita Selangor pada penghujung separuh masa pertama, tetapi penjaga gol Sikh Izhan Nazrel tampil cemerlang menafikan percubaan Suphanat untuk memastikan kedudukan kekal 1-0 hingga rehat.
Bersambung babak kedua, aksi berlangsung dalam tempo pantas dengan Selangor lebih agresif memburu jaringan penyamaan, namun disiplin tinggi benteng pertahanan Buriram berjaya menyerap tekanan demi tekanan daripada skuad tuan rumah.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kini wajib mencipta kebangkitan pada aksi timbal balik di Thailand sekiranya mahu menghidupkan peluang menjulang trofi musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




