am@hmetro.com.my
Kota Belud: Lima individu terpaksa menunggu bantuan pasukan bomba selepas terkandas di seberang sungai akibat arus deras di Kampung Melangkap, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat namun gagal menyeberangi sungai berikutan keadaan arus yang deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.48 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera bomba dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.33 petang dan mendapati lima mangsa berada di seberang sungai dalam keadaan selamat.
“Bagaimanapun, mereka tidak dapat menyeberangi sungai disebabkan arus deras,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi sedang dijalankan bagi membawa keluar semua mangsa dengan selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




