SHAH ALAM – Semua pihak khususnya ahli politik digesa agar tidak mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, semua pihak seharusnya berlapang dada dan memahami maksud di sebalik titah baginda yang mengingatkan generasi baharu tentang kepentingan Rukun Negara dan perpaduan rakyat.
Menurutnya, tindakan segelintir ahli politik yang cuba memanipulasi titah tersebut untuk kepentingan sendiri adalah sangat tidak wajar.
“Jadikanlah titah Tuanku Sultan Selangor itu sebagai satu nasihat yang berguna sepertimana nasihat seorang ayah kepada anak-anaknya.
“Tiada untungnya kepada mana-mana pihak yang cuba untuk mengambil kesempatan di atas titah baginda selain untuk mengeruhkan keadaan dan mungkin cubaan untuk meraih populariti politik semata-mata. Berpolitik ada batasnya,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan Sultan Sharafuddin menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.
Titah baginda, langkah itu penting agar semua pihak terutamanya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.
Mengulas lanjut, Abbas menegaskan, fokus utama ketika ini harus diberikan kepada usaha memperkukuh keadaan negeri dan negara yang sedang berhadapan cabaran krisis ekonomi global.
“Nasib rakyat harus menjadi keutamaan dan seperti yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Amiruddin Shari, pakej rangsangan ekonomi khusus bagi negeri Selangor berhadapan dengan krisis itu kesan dari pergolakan di negara Timur Tengah dengan peruntukan permulaan sebanyak RM131 juta.
“Ini yang harus diberi keutamaan bukan hanya cubaan menangguk di air yang keruh dan menjadi pengadu domba bagi mengeruhkan suasana,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak mengambil iktibar secara positif atas titah Sultan Sharafuddin sebagai tanda sayang baginda terhadap kerajaan dan rakyat negeri Selangor.



