Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan semua kompleks membeli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di negeri itu ditutup sepenuhnya pada hari pertama Aidiladha, iaitu pada Rabu depan.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata premis makanan segera, kedai serbaneka dan premis seumpamanya pula hanya dibenarkan beroperasi selepas 1 tengah hari pada hari berkenaan.
Beliau berkata keputusan itu selaras dengan pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri bersempena dengan Aidilfitri yang lepas, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, hari ini.
“Penutupan premis ini bertujuan memberikan peluang kepada pekerja sektor peruncitan dan perkhidmatan menunaikan solat sunat Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban bersama keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes pembunuhan di Kelantan yang disifatkan amat membimbangkan dan mendukacitakan.
Beliau berkata walaupun kadar jenayah indeks keseluruhan di negeri itu masih rendah berbanding negeri lain, peningkatan kes bunuh memerlukan perhatian segera semua pihak.
“Daripada hanya satu kes dalam tempoh sama tahun lepas kepada lima kes dalam tempoh lima bulan tahun ini, keadaan ini perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas usaha berterusan membanteras jenayah serta memastikan keselamatan awam di negeri itu terus terpelihara.
Pada Isnin lepas, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes bunuh di negeri itu, yang melonjak lebih 100 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




