Pak Nil gerakkan misi bantuan Adrian Adam

Pak Nil gerakkan misi bantuan Adrian Adam

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menyedari bebanan ditanggung sahabat industri, pengacara versatil, Datuk Aznil Nawawi mengambil inisiatif mengosongkan akaun bank peribadinya demi melancarkan tabung kutipan bantuan buat anak kedua pelakon, Amyza Aznan iaitu Adrian Adam yang kini bertarung dengan kanser tulang.

Aznil, 64, atau mesra disapa Pak Nil berkata, usaha murni itu dilakukan khusus bagi membantu menampung kos perbelanjaan serta perubatan Adrian.

“Saya sudah kosongkan akaun peribadi saya dan mendapat kelulusan daripada Maybank untuk mengumpul dana kilat buat Adrian Adam, anakanda Amyza Aznan.

“Segala wang yang dimasukkan ke dalam akaun yang kosong ini mulai saat ini adalah bertujuan untuk perubatan dan saraan Adrian Adam 100 peratus,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagramnya, semalam.

Menerusi hantaran sama, pengacara program Talk To My Manager 2 (TTMM 2) itu turut memuat naik bukti tangkapan skrin yang menunjukkan baki akaun peribadinya sudah dikosongkan bersama butiran bank terbabit untuk memudahkan urusan sumbangan.

Kongsi Aznil lagi, tabung bantuan kilat itu akan dibuka dalam tempoh seminggu dan dia akan berkongsi jumlah kutipan harian kepada umum.

“Saya akan maklumkan di Instagram Story jumlah kutipan terkumpul secara harian. Tabung ini akan dibuka selama satu minggu sehingga 27 Mei 2026,” tulisnya.

Sementara itu, tersentuh dengan keprihatinan yang ditunjukkan Pak Nil, Adrian dan Amyza sempat menzahirkan rasa hiba dan ucapan terima kasih di ruangan komen hantaran berkenaan.

“Allah, terima kasih Pak Nil. Terima kasih semua. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya,” komen Adrian.

Terdahulu, Adrian mencuri perhatian netizen selepas tampil membuat persembahan di pentas program TTMM 2 meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda.

Mendendangkan lagu Ku Mohon nyanyian Datuk Sheila Majid, persembahan Adrian itu bukan sahaja menyentuh hati penonton, malah rata-rata netizen memuji bakat nyanyian Adrian itu.

Ini bukan inisiatif kali pertama Pak Nil kerana beliau pernah menggerakkan misi bantuan sama bagi membantu penggiat seni tanah air yang berdepan masalah kesihatan kronik seperti Zamani Slam dan Allahyarham Ibnor Riza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top