am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Dua lelaki ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo perniagaan berhampiran Dataran Jam Besar, di sini, malam ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, setakat ini dua lelaki berusia 20-an dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.
“Polis akan buat beberapa tangkapan lagi pada malam ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang peniaga, Azmi Ahmad, 42, maut manakala tiga lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun mengalami kecederaan.
Pada masa sama, Hanyan turut meminta mangsa lain yang turut cedera akibat insiden itu tampil untuk membantu siasatan.
Katanya, penganjuran ekspo yang bermula 20 sehingga 26 Mei depan akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada siasatan yang sedang dijalankan.
“Polis menerima panggilan jam 7.53 malam daripada orang awam yang memaklumkan insiden terbabit.
“Siasatan awal mendapati ada seorang lelaki terbaring yang disahkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di tangan kanan dan dada kanan.
“Kita dapati kejadian mungkin berlaku apabila satu tong yang mengandungi gas meletup.
“Serpihannya terpelanting antara jarak 70 hingga 100 meter serta mengenai beberapa peniaga lain sehingga mengalami kecederaan,” katanya.
Hanyan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan sebarang tindakan cuai.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




