Yusuf Islam teruskan misi kemanusiaan, temui ketenangan di Malaysia

Yusuf Islam teruskan misi kemanusiaan, temui ketenangan di Malaysia

Kuala Lumpur: Penyanyi dan penulis lagu lagenda Britain Yusuf Islam, sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens, pernah meraih populariti menerusi lagu malar segar serta lirik puitis namun hari ini mesej yang dibawanya lebih tertumpu kepada keamanan, tujuan hidup dan khidmat kemanusiaan.

Artis berusia 77 tahun itu berkata Malaysia kini menjadi lokasi penting bagi beliau untuk bermuhasabah serta merancang inisiatif masa depan, khususnya dalam mempromosikan naratif dunia yang lebih seimbang dan penuh harapan.

Selain muzik, Yusuf aktif dalam usaha kemanusiaan dan pendidikan menerusi pelbagai inisiatif termasuk sekolah, yayasan dan sebuah pusat kreatif belia di United Kingdom (UK) yang diinspirasikan daripada legasi Nabi Ibrahim.

Beliau berkata pusat yang dikenali sebagai “The Maqam” itu diwujudkan sebagai hab kreatif dan tempat pertemuan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan agama.

“Kami menggelarkannya sebagai The Maqam, yang berasal dari tempat Nabi Ibrahim berdiri ketika membina rumah Allah di Makkah.

“Kami percaya Nabi Ibrahim ialah bapa kepada semua agama dan terdapat banyak perkara yang menyatukan kita, bukannya memecah-belahkan.

“Itu antara projek besar kami di UK ketika ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Yusuf berkata menerusi inisiatif Peace Train, diangkat sempena sebuah lagunya yang ikonik, beliau meneruskan misi membantu golongan memerlukan selain menyebarkan keamanan, nilai yang dipelajari daripada ajaran Nabi Muhammad SAW.

Di Malaysia, selain terlibat dalam kerja-kerja amal, Yusuf berkata beliau turut berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk media dan Kementerian Komunikasi bagi meneroka peranan negara ini dalam membentuk naratif dunia yang lebih konstruktif.

Kepada golongan muda di Malaysia yang masih mencari hala tuju hidup, Yusuf berkongsi nasihat ringkas namun penuh makna yang berteraskan kesyukuran dan kesedaran diri.

“Lupakan apa yang telah hilang, fikirkan apa yang anda miliki. Jangan fikirkan perkara di luar kemampuan anda.

“Hargai apa yang anda miliki dan anda akan terus bangkit.

“Saya menempuh perjalanan yang penuh bermakna dan indah untuk mencari kedamaian melalui Islam.

“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain,” katanya memetik sabda Nabi Muhammad SAW.

Mengulas populariti berterusan lagu Father and Son dalam kalangan generasi muda di platform media sosial, Yusuf berkata mesej mengenai perubahan dan hubungan kekeluargaan dalam lagu itu kekal relevan sepanjang zaman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata Yusuf memfokuskan usaha menghasilkan kandungan berunsur positif melalui muzik dan animasi di Malaysia.

Beliau berkata Yusuf, yang kini memiliki studio di Malaysia, turut merancang menghasilkan semula lagu Wild World dalam bahasa Melayu selain terlibat dalam program keselamatan kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan golongan itu.

Terdahulu, Yusuf mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Timbalannya, Teo Nie Ching dan Azmir.

Penyanyi itu, yang dilahirkan sebagai Steven Demetre Georgiou di London pada 1948, ialah penyanyi dan penulis lagu Britain paling berpengaruh pada era 1970-an menerusi lagu popular seperti Moon Shadow, Peace Train, Oh Very Young dan Father and Son.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top