AS rampas kapal tangki minyak dikaitkan dengan Iran di Lautan Hindi

AS rampas kapal tangki minyak dikaitkan dengan Iran di Lautan Hindi
AS rampas kapal tangki minyak dikaitkan dengan Iran di Lautan Hindi

Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak yang dikaitkan dengan Iran di Lautan Hindi. Gambar hiasan

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak yang dikaitkan dengan Iran di Lautan Hindi, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Wall Street Journal pada Selasa, ketika Washington mengekalkan tekanan ketenteraan dan ekonomi terhadap Tehran walaupun rundingan masih diteruskan.

Kapal tangki dikenali sebagai Skywave itu dikenakan sekatan oleh AS pada Mac susulan peranannya dalam mengangkut minyak Iran dan dipercayai membawa lebih satu juta tong minyak mentah yang dimuatkan di Pulau Kharg, Iran pada Februari, menurut laporan itu.

Wall Street Journal yang memetik broker dan data daripada Lloyd’s List Intelligence melaporkan bahawa kapal itu beroperasi di kawasan yang dikenali sebagai lokasi pemindahan minyak dari kapal ke kapal secara sulit.

Laporan itu muncul ketika ketegangan serantau kekal memuncak susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran pada akhir Februari lepas.

Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan menyasarkan Israel dan sekutu AS di Teluk, termasuk Emiriah Arab Bersatu, selain menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. Presiden Donald Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa had masa. – Bernama 

Scroll to Top