Terus berkobar semangat 'Hang Tuah' di jiwa Muhammad Firdaus

Terus berkobar semangat 'Hang Tuah' di jiwa Muhammad Firdaus

amir_hamid@mediaprima.com.my

PADA usia 12 tahun, kebanyakan kanak-kanak sebaya mungkin hanya memikirkan untuk seronok bermain atau bersekolah sahaja.

Namun, bagi anak kelahiran Gombak, Selangor, Muhammad Firdaus Haris, usia itu menjadi titik penanda aras yang mengubah naratif hidupnya.

Di sebalik susuk tubuh yang kini segak beruniform hijau sebagai seorang perwira tentera, tersimpan satu kisah keberanian luar biasa yang pernah menggemparkan negara dua dekad lalu.

Mengimbas kembali memori di penghujung 2005, Muhammad Firdaus ketika itu sedang menikmati cuti sekolah bersama keluarga di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Suasana damai malam itu bertukar cemas apabila Muhammad Firdaus terlihat seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan empat tahun tergelincir ke dalam kolam renang.

“Tindakan saya ketika itu adalah hasil tidak balas. Saya tidak fikir panjang,” kata Muhammad Firdaus memulakan ceritanya.

Walaupun tidak tahu berenang, semangat ingin menyelamatkan nyawa mengatasi rasa takut.

Kanak-kanak itu pula terkapai-kapai dan semakin hanyut ke tengah kolam yang berkedalaman kira-kira tiga meter.

Muhammad Firdaus kemudiannya terjun ke kolam terbabit sebelum berpaut pada tiang tangga sambil tangannya yang sebelah lagi menarik rambut kanak-kanak berkenaan dan membawanya ke atas.

Peristiwa itu mengangkat nama Muhammad Firdaus sebagai penerima anugerah berprestij, Anugerah Pingat Hang Tuah pada 25 Mac 2006 sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat kebangsaan, selain turut menerima biasiswa khas Yayasan Selangor.

Pingat Hang Tuah bukan sekadar trofi di atas almari. Bagi Muhammad Firdaus, ia adalah amanah yang dipikul untuk terus cemerlang.

“Alhamdulillah, ada siri kejayaan yang bermula dengan inspirasi selepas mendapat pingat itu,” kata anak pasangan Haris Abu Talib dan Asnita Abas itu.

Dia membuktikan bahawa keberanian fizikal perlu seiring dengan kekuatan mental dan keikhlasan untuk membantu apa yang termampu.

Muhammad Firdaus meneruskan kecemerlangannya dalam bidang akademik dan berjaya menamatkan pengajian diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang.

Dia kemudiannya melanjutkan pengajian sehingga berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di UiTM Seremban, Negeri Sembilan.

Langkah kerjaya awalnya bermula di Universiti Islam Selangor (UIS) sebagai Pegawai Tadbir.

Selama tiga tahun berkhidmat di sana, Muhammad Firdaus menyumbang bakti dalam bidang pengurusan, namun jiwa ‘Hang Tuah’ diinspirasi dalam dirinya sentiasa mendambakan cabaran yang lebih besar.

Pada 2019, Muhammad Firdaus membuat keputusan besar untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Baginya, dunia ketenteraan adalah platform terbaik untuk mencabar had kemampuan diri, selain memenuhi minatnya yang mendalam terhadap aspek disiplin dan kekemasan.

Selepas melalui latihan getir di Akademi Tentera Darat sebagai Pegawai Kadet, Muhammad Firdaus akhirnya ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2020.

Kini, pada usia 33 tahun, Kapten Muhammad Firdaus menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Staf 3, Pegawai A, Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan (MINDEF).

“Peristiwa saya menyelamatkan kanak-kanak berkenaan memberi kesan besar dan menjadikan saya berani menyahut cabaran baharu, termasuk dalam dunia ketenteraan yang penuh dengan disiplin dan risiko,” jelas Muhammad Firdaus.

Kisah Kapten Muhammad Firdaus adalah manifestasi sebenar bahawa kepahlawanan tidak bermula dengan latihan teknikal semata-mata, tetapi ia bermula dengan hati yang murni.

Visinya kini adalah untuk terus menyumbang kepada kedaulatan negara melalui perkhidmatan dalam ATM, sambil berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada generasi muda.

Baginya, keberanian bukanlah ketiadaan rasa takut, tetapi keupayaan untuk bertindak demi kebenaran dan kebajikan meskipun dalam keadaan takut.

“Pikul semangat Hang Tuah itu dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Jangan pernah takut untuk mencabar diri sendiri,” pesannya menutup bicara.

Bermula sebagai kanak-kanak yang nekad terjun ke kolam demi menyelamatkan nyawa seseorang, kini berdiri teguh melindungi masyarakat di bawah panji kedaulatan negara.

Kapten Muhammad Firdaus adalah nama yang akan terus dikenang sebagai Hang Tuah moden yang tidak pernah gentar pada cabaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top