
Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) telah diterbitkan pada Jumaat.
CYBERJAYA – Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) telah diterbitkan pada Jumaat bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta pengurangan risiko kandungan memudaratkan dalam ekosistem digital negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA itu dan akan dikuatkuasakan pada 1 Jun depan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga.
“CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian.
“Ia membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MCMC, kod berkenaan menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan,” jelas suruhanjaya itu.
CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dengan memastikan pemberi perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan mereka, termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.
Langkah di bawah CPC menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan, termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
“Tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur,” ujar MCMC.



