Lelaki tular yang kurung, cedera remaja lelaki dipenjara 15 bulan

Lelaki tular yang kurung, cedera remaja lelaki dipenjara 15 bulan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pengutip hutang yang tular kerana mengurung dan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning di sini, minggu lalu, dihukum penjara selama 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman yang berjalan mulai hari ini diberikan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin terhadap Mohamad Fadzwan Abd Muaain, 42, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Pada prosiding itu, duda anak satu terbabit turut mendedahkan punca dia mengurung mangsa adalah untuk mendapatkan maklumat bagi memecah rumah mangsa untuk mencuri emas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara salah mengurung dan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32, di sini, antara 8.05 hingga 11.50 pagi, 11 Mei lalu.

Justeru dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari sementara tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Adli Hakim Azami.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Susulan itu, dia dihukum di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian menetapkan 8 Jun depan untuk dapatkan rekod lampau tertuduh dan jatuh hukum.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dikurung, didera dan dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, di sini, minggu lalu.

Siasatan awal polis mendapati, suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sambil menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang di rumah suspek.

Suspek yang dipercayai bekerja sebagai pemungut hutang itu mempunyai rekod baru keluar penjara pada April tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top