SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan memutuskan untuk menggunakan simbol sendiri pada pilihan raya berkenaan.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik Bersatu yang bersidang dan dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.
Beliau berkata, beberapa ketetapan turut diputuskan biro politik termasuk kesediaan parti itu untuk membincangkan dan memperhalusi bentuk kerjasama atau ‘electoral pact’.
“Antara ketetapan lain adalah Bersatu akan menggunakan simbol parti itu dalam PRN Melaka, selain akan memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi dalam masa terdekat.
“Keputusan untuk mewujudkan ‘electoral pact’ dalam PRN Melaka adalah bertujuan untuk mengoptimumkan potensi bagi menjamin kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRN Melaka pada 7 Oktober ini.
Mohamed Azmin berkata, keputusan itu turut mengambil kira kepentingan memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri yang sederhana dan progresif demi kesejahteraan rakyat Melaka.
“Bersatu merayu kepada rakyat Melaka untuk memberi peluang kepada calon-calon Bersatu untuk mewakili suara rakyat dan membawa perubahan yang hakiki dan memberikan manfaat langsung kepada semua rakyat Melaka,” ujarnya lagi.



