Mahkamah tolak permohonan SPRM, gagal peroleh perintah sekat aset dikaitkan dengan keluarga Tun Daim

Mahkamah tolak permohonan SPRM, gagal peroleh perintah sekat aset dikaitkan dengan keluarga Tun Daim

Permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi bagi menyekat akses terhadap aset bernilai kira-kira RM548 juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, hari ini ditolak.

Gagal peroleh perintah sekat aset

Turut terbabit dalam permohonan itu ialah anak Allahyarham Tun Daim serta tujuh pihak lain di Singapura.

Memetik laporan MalaysiaGazette, keputusan berkenaan diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti mencukupi untuk membolehkan perintah larangan akses terhadap aset terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Menurut beliau, mahkamah berpendapat bukti yang dikemukakan SPRM tidak menepati syarat yang diperuntukkan di bawah undang-undang berkenaan.

“Bukti yang dikemukakan gagal memenuhi keperluan di bawah Seksyen 53 AMLATFPUAA, justeru permohonan itu ditolak,” katanya.

Dalam prosiding tersebut, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, manakala Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim serta tujuh pihak lain diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Menerusi permohonan yang difailkan sebelum ini, SPRM memohon perintah mahkamah bagi menghalang Na’imah, anaknya, dua individu lain, lima syarikat dan mana-mana pihak berkaitan daripada mengurus, memindahkan atau berurusan dengan aset yang didakwa berada di luar negara.

Aset berkenaan melibatkan pelaburan bernilai £21 juta dan AS$99 juta yang ditempatkan dalam beberapa akaun bank di Singapura.

Artikel lain: Tun Mahathir pertahan Daim, minta penjelasan harta orang meninggal dunia dirampas

Pada 19 Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan secara ex-parte, iaitu permohonan yang dibuat tanpa kehadiran pihak responden ketika ia mula dikemukakan di mahkamah.

Permohonan itu dibuat mengikut peruntukan AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa mendapatkan perintah sementara bagi menyekat akses atau urusan melibatkan aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti haram atau pengubahan wang haram sementara siasatan dijalankan.

Kes ini merupakan antara beberapa tindakan undang-undang dan siasatan yang dikaitkan dengan keluarga Allahyarham Tun Daim sejak tahun lalu, termasuk berkaitan isu pengisytiharan aset dan pemilikan harta di luar negara.

Sumber: MalaysiaGazette (Kasthuri Jeevendran)

Scroll to Top