GSF 2.0: 29 aktivis Malaysia tiba di tanah air Ahad ini

GSF 2.0: 29 aktivis Malaysia tiba di tanah air Ahad ini
GSF 2.0: 29 aktivis Malaysia tiba di tanah air Ahad ini

Sebelum ini kesemua 428 aktivis GSF 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa dibebaskan. Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dan dibebaskan pada Khamis dalam keadaan selamat serta berada di Istanbul, Turkiye ketika ini.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, kesemuanya sedang menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijadualkan pulang ke tanah air dengan ketibaan dijangka pada Ahad.

“Kerajaan Malaysia turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Turkiye atas segala bantuan dan sokongan diberikan sepanjang proses pembebasan serta kepulangan mereka dengan selamat.

“Kementerian memuji komitmen teguh yang ditunjukkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) serta pasukan Sumud Nusantara.

“Walaupun flotila kemanusiaan tersebut dihalang daripada tiba di Gaza, misi ini berjaya meningkatkan kecaman antarabangsa terhadap sekatan haram rejim Zionis Israel ke atas Gaza, Palestin,” katanya pada Jumaat.

Wisma Putra memaklumkan, Malaysia kekal komited untuk meneruskan usaha diplomatik bersama rakan antarabangsa dalam menjunjung prinsip kemanusiaan serta memperkukuh solidariti global ke arah penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kesemua 428 aktivis GSF 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa dibebaskan.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menghantar tiga kapal terbang Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak di tanah haram Israel.

Tambah Sani Araby, pihaknya mengesahkan laporan terkini bahawa semua 428 aktivis flotilla dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka sampai ke Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925.

Scroll to Top