am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Lelaki warga India dan wanita tempatan ditahan penguat kuasa agama selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah kampung di sini, hari ini.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan berkata, serbuan dilakukan pada 12.30 tengah malam hasil maklumat awam.
“Sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan dibuka lima minit kemudian oleh wanita berusia lingkungan 40-an yang hanya memakai pakaian tidur.
“Pemeriksaan lanjut kemudian dilakukan di dalam rumah yang ketika itu gelap, sebelum penguat kuasa menemui seorang lelaki di dalam bilik tidur dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang,” katanya.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati lelaki Muslim berusia 30-an itu bekerja di sebuah restoran mamak di bandar raya ini dan sudah berkahwin di negara asalnya, manakala wanita berkenaan berstatus janda serta bekerja di pasar raya.
“Pasangan itu mendakwa sudah bernikah, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan,” katanya memaklumkan pasangan itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berkhalwat.
Difahamkan, lelaki itu dikatakan sering datang ke rumah wanita terbabit dan dipercayai membantu membayar sebahagian sewa rumah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




