Kerbau albino mirip Trump jadi selebriti menjelang Aidiladha

Kerbau albino mirip Trump jadi selebriti menjelang Aidiladha

Dhaka: Seekor kerbau albino yang jarang ditemukan dengan bulu perang berjurai mencuri perhatian ramai sehingga tular di Bangladesh menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Kehadiran haiwan unik itu menarik perhatian orang ramai yang datang untuk melihat ‘selebriti itu’ dari dekat yang disifatkan mempunyai rupa fizikal yang sangat menyerupai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Kerbau seberat hampir 700 kilogram (680 kilogram) itu dilaporkan diternak di sebuah ladang di daerah Narayanganj berhampiran ibu negara Bangladesh.

Haiwan berkenaan secara rasminya diberi nama “Donald Trump” oleh pihak pengurusan ladang ternakan berkenaan.

Gelaran itu diberikan kerana terdapat bulu pucat yang tumbuh dan berjuntai di bahagian dahinya.

Ciri fizikal yang unik pada haiwan berkenaan disifatkan oleh orang ramai seolah-olah menyerupai gaya rambut yang menjadi tanda khas pemimpin AS itu.

Puluhan penduduk dilaporkan membanjiri kawasan ladang ternakan itu setiap hari semata-mata mahu melihat haiwan berkenaan.

Malah, sebahagian pengunjung sanggup datang dari daerah yang jauh untuk merakam gambar swafoto dan video bersama haiwan berwarna luar biasa itu.

Keunikan fizikal kerbau berkenaan menyebabkan gambar dan videonya tular dengan pantas di pelbagai platform media sosial.

“Adik lelaki saya menamakan kerbau ini Donald Trump kerana bulu di bahagian depan kepalanya menyerupai beliau,” kata pemilik ladang, Ziauddin Mridha.

Katanya, di sebalik penampilan yang menonjol dan bersaiz besar, haiwan itu mempunyai sifat yang sangat tenang mengikut tabiat semula jadinya.

Ziauddin turut menjelaskan bahawa haiwan berkenaan adalah seekor kerbau albino.

Katanya, kerbau jenis ini secara umumnya bersifat jinak dan tidak akan bertindak agresif melainkan jika diganggu atau diprovokasi.

Tambahnya lagi, kerbau itu memerlukan penjagaan khas termasuk dimandikan sebanyak empat kali sehari dan diberi makan empat kali sehari bagi memastikan ia sentiasa sihat serta berada dalam keadaan baik menjelang Aidiladha.

“Ia memerlukan perhatian dan penjagaan tambahan setiap hari. Kerbau ini bagaimanapun sudah pun diserahkan kepada seorang pelanggan untuk dijadikan ibadah korban semasa Aidiladha nanti,” katanya.

Kerbau albino dianggap sebagai haiwan yang jarang dijumpai di Bangladesh memandangkan sebahagian besar kerbau di negara itu mempunyai kulit berwarna gelap.

Disebabkan badannya yang berwarna krim, berhidung merah jambu dan berbulu perang panjang, haiwan itu menonjol berbanding ribuan ternakan lain yang disediakan bagi sambutan perayaan umat Islam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara majoriti Islam itu menyaksikan haiwan korban yang bersaiz luar biasa besar atau unik sering menjadi tarikan tular dan kerap diberi nama bersempena selebriti bagi menarik minat pembeli serta pengunjung.

Persamaan kerbau itu dengan Trump, bersama saiznya yang besar serta sifatnya yang jinak menjadikannya ia antara tarikan utama pada tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top