KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara 11 bulan selepas terlibat dalam cubaan samun seorang wanita di kawasan parkir Hospital Columbia Asia, Bukit Jalil pada 18 Mei lalu.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras susulan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi apabila suspek bertindak agresif dengan membuka pintu kenderaan dipandu mangsa.
Menurutnya, suspek cuba merampas telefon bimbit serta melarikan beg tangan milik wanita terbabit.
“Bagaimanapun berlaku pergelutan sebelum mangsa menjerit meminta bantuan menyebabkan suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal. Tiada kerugian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9) IPD Cheras berjaya menahan suspek pada pukul 5.36 petang di kawasan Brickfields.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau,” katanya.
Polis turut merampas sebuah motosikal, sehelai jaket jenama Puma dan sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Menurutnya, suspek direman selama dua hari sebelum didakwa di Mahkamah Jalan Duta mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bermula dari tarikh tangkapan,” katanya. – UTUSAN




