MAKKAH – Dalam suasana jemaah haji yang saling berkongsi ruang penginapan, laluan dan kawasan ibadah di Tanah Suci, sikap menjaga kebersihan dilihat menjadi cerminan akhlak serta disiplin seorang Muslim ketika menjadi tetamu ALLAH.
Sehubungan itu, Lembaga Tabung Haji terus memperkukuh budaya kebersihan dalam kalangan jemaah menerusi Program Kebersihan Bangunan Penginapan Jemaah Haji di Makkah dan Program Kebersihan Masyair bagi musim Haji 1447H/2026M yang dilancarkan pada Sabtu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kedua-dua program berkenaan yang diperkenalkan sejak 2017 turut diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai program nilai tambah jemaah haji Malaysia dalam meningkatkan tahap kebersihan operasi tahunan di Tanah Suci.
Menurut beliau, selepas pelancaran kempen Green Hajj atau Haji Lestari pada Jumaat, kempen kebersihan itu diteruskan dengan memberi fokus kepada kawasan penginapan, surau serta kawasan Masyair termasuk di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Alhamdulillah, kita dapat lihat jemaah haji Malaysia menunjukkan contoh dan teladan dengan menjaga kebersihan di tempat penginapan dan juga di Masyair.
“Tahun ini kita mahu memperkukuhkan lagi budaya kebersihan supaya ia benar-benar selari dengan semangat sebagai duyufurrahman dengan menjaga kebersihan dan mengelakkan pembaziran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Kebersihan di Abraj Janadriyah di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bersama barisan tertinggi TH dan jemaah yang hadir di majlis pelancaran tersebut. Foto TH
Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan aspek kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan jemaah sentiasa diberi perhatian secara menyeluruh.
“Program ini memberi fokus kepada aspek kebersihan, kesihatan dan keselesaan persekitaran sepanjang jemaah berada di Tanah Suci.
“Kebersihan adalah tuntutan agama dan sebahagian daripada manifestasi keimanan seorang Muslim,” katanya.
Beliau berkata, program tersebut bukan sekadar inisiatif operasi biasa, sebaliknya mempunyai objektif lebih besar dalam mendidik jemaah supaya menjadikan kebersihan sebagai sebahagian daripada ibadah dan akhlak Muslim.
“Ibadat haji bukan sekadar perjalanan menuju Kaabah, tetapi perjalanan mendidik hati menjadi lebih beradab terhadap manusia dan juga persekitaran,” ujarnya.
Tambah beliau, persekitaran penginapan dan kawasan ibadah yang lebih bersih, selesa dan teratur akan membantu jemaah melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.
Katanya, usaha itu juga dapat mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit, pencemaran dan isu kesihatan awam khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Masyair.

Antara Sahabat Maktab yang hadir dalam majlis perasmian tersebut. Foto TH
Dalam pada itu, beliau menjelaskan program kebersihan di Makkah akan menekankan aspek kebersihan bilik penginapan, ruang awam dan surau, pengurusan sisa pepejal dan makanan serta disiplin penggunaan kemudahan bersama.
Selain itu katanya, kesedaran menjaga kebersihan tandas dan kawasan lif turut diberi perhatian dengan penglibatan aktif Sahabat Maktab serta petugas kebajikan dalam advokasi kebersihan.
Mengulas mengenai Program Kebersihan Masyair, beliau berkata, kawasan seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina memerlukan tahap disiplin kebersihan yang tinggi berikutan kepadatan jemaah.
“Program ini memberi penekanan kepada pengurusan sampah secara sistematik, kebersihan khemah dan laluan pejalan kaki, pengurangan pembaziran makanan serta kesedaran penggunaan tandas secara berhemah.
“Ia amat penting bagi memastikan keselesaan jemaah haji serta mengurangkan risiko kesihatan ketika berada dalam keadaan cuaca panas dan kesesakan tinggi,” katanya.
Beliau berharap kedua-dua program berkenaan dapat menjadi gerakan kolektif dalam membudayakan kebersihan sebagai identiti jemaah haji Malaysia.
“Kadangkala menjaga kebersihan bukan bermula dengan program besar, tetapi bermula dengan satu tangan yang mengutip sampah kerana cinta kepada Allah dan hormat kepada tetamu-Nya,” katanya.



