AS, Iran hampir meterai perjanjian buka semula Selat Hormuz

AS, Iran hampir meterai perjanjian buka semula Selat Hormuz

ISTANBUL – Amerika Syarikat (AS) dan Iran hampir menandatangani lanjutan gencatan senjata selama 60 hari yang akan membuka semula Selat Hormuz, membolehkan Iran menyambung semula jualan minyak dan mewujudkan ruang rundingan mengenai program nuklear Tehran, menurut seorang pegawai AS yang mengetahui draf perjanjian itu.

Perjanjian yang dicadangkan itu belum dimuktamadkan, mungkin diumumkan seawal Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik laman berita Axios.

Bagaimanapun, pegawai memberi amaran bahawa perjanjian itu masih boleh gagal sebelum ditandatangani.

Di bawah draf memorandum persefahaman itu, Iran akan membersihkan periuk api dari Selat Hormuz dan membenarkan kapal melaluinya tanpa dikenakan tol.

Sebagai balasan, Washington akan menarik balik sekatan terhadap pelabuhan Iran dan mengeluarkan pengecualian sekatan terhad yang membenarkan Tehran menjual minyak secara bebas dalam tempoh 60 hari.

Seorang pegawai AS menyifatkan aturan itu sebagai “kelonggaran sebagai balasan kepada tindakan”, sambil berkata kelonggaran ekonomi akan menyusul selepas langkah konkrit Iran, bukannya diberikan lebih awal.

Draf itu turut merangkumi komitmen Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear dan berunding mengenai penggantungan pengayaan uranium serta pelupusan simpanan uranium diperkaya tinggi miliknya.

Sebarang pelonggaran sekatan yang lebih luas atau pembekuan aset Iran akan dibincangkan dalam tempoh gencatan senjata, tetapi hanya akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir yang disahkan.

Pasukan AS yang dikerahkan ke rantau itu akan kekal berada di sana sepanjang tempoh 60 hari dan hanya akan berundur sekiranya perjanjian akhir dicapai.

Perjanjian itu juga dilihat berkait dengan usaha menamatkan perang antara Israel dan Hizbullah di Lubnan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan membangkitkan kebimbangan mengenai syarat itu dalam panggilan telefon dengan Trump pada Sabtu.

Seorang pegawai AS berkata, Israel masih dibenarkan bertindak jika Hizbullah cuba mempersenjatai semula atau menyambung serangan.

Beberapa pemimpin Arab dan Islam termasuk pegawai dari Arab Saudi, Qatar, Mesir, Turkiye, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu menyokong usaha diplomatik itu.

Pakistan memainkan peranan pengantara utama, dengan Fil Marsyal Asim Munir melakukan perjalanan ke Tehran dalam usaha membantu memuktamadkan perjanjian itu.

Rumah Putih berharap isu yang berbaki dapat diselesaikan dalam beberapa jam.

Namun pegawai AS berkata gencatan senjata itu boleh berakhir lebih awal jika Washington merumuskan bahawa Iran tidak serius dalam rundingan nuklear. – Bernama

 

 

Scroll to Top