Mencari parti politik paling suci dan maksum

Mencari parti politik paling suci dan maksum

Seminggu dua ini pentas politik kelihatan berwarna-warni.

Seorang pelakon C. Joseph Vijay berjaya menjadi Ketua Menteri di Tamil Nadu India dan tindak tanduknya selepas itu semakin menjadi perhatian.

Beberapa hari lepas dua Ahli Parlimen (MP) Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Rafizi Ramli membuat keputusan mengejutkan meletakkan jawatan di kawasan diwakilinya.

Politik tidak semestinya meriah menjelang pilihan raya sahaja kerana ahli politik biasanya berpaut kepada parti untuk bertanding, melainkan memilih menjadi calon bebas.

Sebab itu ada sahaja parti politik muncul menjelang pilihan raya , menunjukkan pentingnya parti sebagai platform bertanding.

Namun, keputusan kedua -dua MP melepas jawatan itu menarik perhatian bagi mencari haluan politik baharu, maka muncul Parti Bersama Malaysia (MUP) parti yang diambil alih mereka, Kedua-duanya sudah bertukar baju politik.

Apa saja pendapat warga maya dengan keputusan tersebut bukan isunya.

Keputusan tersebut menjadikan banyak parti politik akan bertanding menjelang pilihan raya sama ada secara solo atau gabungan/pakatan.

Setakat 2026 ini, terdapat 72 parti politik yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Antara gabungan dan parti utama ketika ini ialah Barisan Nasional (BN),

Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan banyak parti yang menganggotai gabungan berkenaan seperti PAS, DAP, Amanah, Bersatu, Warisan dan parti parti lain seperti MUDA, Pejuang, Berjasa dan Putra.

Persoalannya, begitu banyak parti yang menjadi wadah politik dan apabila bertanding pilihan raya, ini yang menjadi dilema kepada pemilih terutama golongan muda yang terdaftar secara automatik sebagai pemilih.

Siapa calon mereka pilih dan apa kriteria pemilihan?, sementalah tidak mengetahui rekod perkhidmatan parti parti berkenaan yang belum pernah menjadi kerajaan.

Jika demikian apa kriteria pemilihan ? Hanya ada calon atau parti . Lebih merumitkan jika calon tersebut baharu bertanding tidak pernah bertemu rakyat, Begitu juga partinya yang baharu muncul atau baru didengar dan tidak pernah bertanding atau menang pilihan raya.

Sebab itu di Sabah dan Sarawak, parti-parti etnik ini ditubuhkan supaya mudah mendekati masyarakat berdasarkan nama parti dan calon serta hala tuju perjuangan serta manifestonya mudah difahami.

Namun parti-parti ini juga berdepan risiko mudah ‘ditendang’ rakyat jika gagal memberi khidmat terutama jika demografi pengundi majoritinya golongan berusia.

Maka pendekatan yang mereka gunakan adalah memilih calon yang bertaraf selebriti seperti artis. Lebih elok jika dia bertanding sebagai calon bebas.

Ramai calon di beberapa negara seperti Indonesia dan India menggunakan selebriti atau artis. Sekadar beberapa contoh Presiden Ronald Reagen (Amerika Syarikat) dan Joseph Estrada (Filipina) bekas pelakon.

Calon tidak popular pula berdepan cabaran besar dan partinya perlu banyak membantu. Itu pun jika parti tersebut tidak ada masalah besar terpalit isu.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya UM)

Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkongsi kepada saya, pengundi muda berdepan dilema memilih parti berdasarkan prestasi.

“Mereka akan pening kepala tetapi saya lihat sekarang mereka mempunyai pilihan alternatif dalam pilihan raya, jika tidak menyokong parti-parti gabungan PH/BN, atau PN maka mereka akan mencuba alternatif yang bakal diketengahkan, oleh kumpulan Rafizi sebab pengundi muda sudah lihat sendiri prestasi PN, PH dan BN sebagai kerajaan,” ujarnya.

Kata beliau, pelbagai reaksi dan respon, kalau tinjau di media sosial seperti Tiktok, thread, Facebook, instagram mereka amat cakna daripada sebesar besar isu sehingga sekecil kecil isu.

Malah pengundi muda tersebut mengorek (mengungkit) semula balik ucapan, video atau dasar yang pernah PH/ BN atau PN laksanakan.

“Pengundi berusia 18 hingga 39 tahun ini sudah bosan dengan pergaduhan politik,” ujar beliau.

Kata Mohammad Tawfik berdasarkan kajiannya, golongan tersebut bosan dengan isu parti Bersatu bergaduh, PKR bergaduh, UMNO pun bergaduh.

Yang lebih penting, pemimpin dalam parti parti tersebut tidak bercakap soal bagaimana anak muda struggle cari pendapatan, dan membela anak muda tersebut.

Atas faktor tersebut adalah dijangkakan mereka akan cuba mencari parti alternatif dan mengelak dengan parti-parti yang asyik bergaduh ini.

Pada PRU-15 lalu, terdapat 11 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun yang menjadi kingmaker dengan jumlah keseluruhan pengundi berjumlah 21.1 juta.

Pendek kata, bukan mudah mencari parti terbaik meski pun jumlah di Malaysia banyak dan dijangka bertambah menjelang pilihan raya. Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr Sivamurugan Pandian memberitahu saya pluralisme politik memperkukuh demokrasi, namun fragmentasi politik yang berlebihan boleh melemahkan kestabilan tadbir urus.

Kata beliau, demokrasi yang sihat bukan diukur pada banyaknya parti, tetapi pada kualiti kepimpinan dan kematangan politik yang ditawarkan kepada rakyat.

“Apabila pelakon Vijay menang di Tamil Nadu baru-baru ini sehingga berjaya menjadi Ketua Menteri…barangkali ada yang merasakan pendekatan yang sama boleh dibuat di sini, “ katanya sinikal.

Mohammad Tawfik berkongsi lagi kepada saya, setakat ini 72 parti politik seperti dinyatakan oleh ROS, maka tiada pertambahan parti kerana kemunculan Rafizi dan kemnya baru-baru ini hanya mengambil alih parti sedia ada.

“Jumlah parti politik yang ada di Malaysia hari ini agak seimbang dengan jumlah penduduk dan dalam perlembagaan Persekutuan membenarkan secara jelas, justeru saya lihat situasi ini perkembangan sihat tetapi sejauh mana parti politik yang ada ini mampu kekal aktif dan berkhidmat kepada rakyat, bukan akhirnya ditinggalkan begitu saja selepas isu sudah reda, ahli makin merosot dan dilupakan.

“Maka tidak sihat apabila menubuhkan atau mengambil alih parti sementara waktu, selepas itu biarkan tanpa menggerakkannya apabila isu atau suhu politik sejuk,” ujarnya.

Berdasarkan jumlah penduduk, jumlah parti tersebut tidaklah dianggap banyak. Jika dicampurkan semua parti politik berdaftar di Malaysia, jumlah keseluruhan ahli parti politik berdaftar mungkin mencecah enam hingga lapan

juta orang, tetapi ramai juga menjadi ahli lebih daripada satu pertubuhan atau pernah tidak aktif. Malaysia mempunyai kira-kira 23 juta pengundi berdaftar, jadi keahlian parti masih sebahagian daripada keseluruhan rakyat dewasa.

Isunya mahu pilih parti yang macam dan apa kriteria? Banyak parti sekali pun tidak bermakna jika tidak berkualiti, terpalit isu serta tidak berkhidmat kepada rakyat?

Maka wahai ahli politik sekalian, sudah sudahlah menubuhkan parti . Tiada ada halangan berbuat demikian kerana perlembagaan Persekutuan membenarkan secara jelas dalam Perkara 10(1)(c). Itu pun menurut laporan, sebanyak 16 permohonan parti baharu yang masih menunggu kelulusan ROS.

Bukan mudah pilih parti yang terpaling suci dan maksum ini. Bayangkan di beberapa negara jumlah parti politiknya tidak terhitung kira. Antara negara yang mempunyai paling banyak parti politik di dunia ialah India. India mempunyai lebih 2,500 parti politik berdaftar termasuk parti nasional, negeri, etnik, bahasa dan agama dengan jumlah penduduknya melebihi 1 bilion orang.-UTUSAN

Scroll to Top